KOTA BHARU: Kerajaan menjangkakan kos gaji penjawat awam naik sehingga RM18 bilion pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selepas kerajaan mengambil kira peningkatan pelbagai kos sara hidup melibatkan pendidikan dan kesihatan.
Kata beliau, sebelum ini kerajaan sudah mengumumkan peningkatan kos gaji penjawat awam sebanyak RM10 bilion iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara sejak 12 tahun lalu.
“Peningkatan kos itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap nasib dan kedudukan untuk berlaku adil kepada kakitangan sektor awam.
“Siling dan lantai ekonomi rakyat perlu naik melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Justeru, kerajaan turut menyeru syarikat swasta untuk menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,700 manakala bagi syarikat di bawah kerajaan pula sebanyak RM3,100,” katanya pada Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.
Anwar berkata, syarikat di bawah kerajaan sudah diminta memastikan pelaksanaan kenaikan gaji selain tidak perlu berbangga dengan keuntungan yang diperoleh.
Menurut beliau, golongan petani, nelayan dan pesawah turut menerima pelbagai manfaat kerajaan serta kenaikan insentif yang diumumkan.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan mengumumkan pelarasan gaji 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional, manakala 7 peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerjasama erat antara negeri dengan Persekutuan melalui politik mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Anwar berkata, perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana tanpa kerjasama, ia mustahil untuk dilaksanakan.
Katanya, beliau sentiasa mengadakan perbincangan dengan pimpinan negeri sejak Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.
“Kerajaan sebelum ini kebanyakannya mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan negeri.
“Setiap kali saya berkunjung ke negeri-negeri sejak beberapa tahun lalu, kita adakan satu sesi khas dengan kerajaan negeri bagi memberi ruang untuk mereka memberi input semasa,” katanya.
Anwar berkata, mengambil contoh keadaan politik di Thailand yang menyebabkan berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat tidak baik untuk negara.
“Saya fikir tidak boleh turun dengan mudah. Jadi, saya mengambil keputusan untuk turun ke Kelantan hari ini,” katanya. – MINGGUAN










