Adalah normal jika seseorang menyimpan barang-barang lama kerana ada nilai sentimentalnya yang tersendiri. Sebagai manusia, kita memiliki kecenderungan untuk mengaitkan barang-barang tertentu dengan kenangan dan pengalaman penting yang berlaku dalam kehidupan kita.
Sebagai contoh, periuk belanga atau pinggan mangkuk mungkin mengingatkan kita kepada kenangan masa lalu, seperti berkumpul bersama keluarga semasa makan malam atau ketika ibu bapa kita mengajar kita memasak.
Pakaian pula seringkali mengingatkan kita pada zaman remaja atau acara-acara penting dalam kehidupan kita.
Pakar Psikiatri Klinikal, Jabatan Psikiatri Hospital Sultan Abdul Halim, Dr. Nur Najwa Hanim Ab. Latiff berkata, selagi barang-barang ini tidak mengganggu kehidupan harian dan disimpan dalam jumlah yang terkawal, ia dianggap normal.

“Tabiat menyimpan barang dengan nilai sentimental ini boleh dianggap sebagai satu cara untuk menghargai memori silam. Namun, sebaiknya kita juga perlu berhati-hati supaya tidak membiarkan perkara ini menghalang daripada menjalani kehidupan yang lebih teratur dan sihat.
“Seringkali, kita terjebak dalam dunia kenangan dan tidak sedar bahawa menyimpan barang berlebihan boleh mempengaruhi kesejahteraan mental dan fizikal kita, terutama jika ruang menjadi bertambah sempit dan sesak,” katanya.
Katanya, longgokkan barang lama di dalam rumah sehingga menyebabkan ruang di dalam rumah kelihatan serabut, boleh dikaitkan pengumpulnya dengan gangguan mental.
Penyimpan berkemungkinan mengalami masalah mental atau masalah psikologi mendalam apabila merasa cemas atau tertekan apabila diminta untuk membuang barang yang tidak diperlukan dan mengganggu pergerakan penghuni rumah.
“Individu yang mula merasa cemas, marah atau sangat sedih apabila diminta untuk membuang barang yang mereka simpan mungkin menunjukkan tanda-tanda masalah seperti gangguan menyimpan barang (hoarding disorder).
“Sekiranya pengumpul menunjukkan tanda-tanda ini, ia bukan lagi sekadar tabiat biasa tetapi mungkin membabitkan kesukaran dalam mengurus emosi atau masalah dalam membuat keputusan yang memerlukan perhatian dan intervensi,” katanya.
Ketika seseorang terlalu terikat dengan memori lama, terutama berkaitan dengan barang-barang yang mereka simpan, ia boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan mental mereka.
“Individu yang terperangkap dalam memori silam ini mungkin merasa sedih, terperangkap dalam penyesalan atau kebimbangan yang tidak berkesudahan.
“Dalam jangka panjang, kesukaran untuk melepaskan memori dan barang-barang lama ini boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan perasaan keseorangan,” katanya.
Katanya lagi, mereka mungkin memilih untuk menjauhkan diri daripada orang lain kerana enggan berkongsi barang-barang mereka, yang memburukkan perasaan keterasingan dan kesepian.
Gangguan ini boleh dirawat
Masalah Hoarding boleh dirawat menerusi terapi kognitif tingkah laku (CBT) iaitu salah satu rawatan yang sangat berkesan. Ia membantu individu terbabit mengenali pola pemikiran yang tidak rasional dan belajar bagaimana untuk membuat keputusan yang lebih rasional berkenaan dengan barang-barang yang disimpan.
Katanya, CBT memberi individu alat untuk membuat keputusan yang lebih rasional mengenai barang yang perlu disimpan dan yang boleh dibuang.
Proses pemulihan biasanya memakan masa, bukan kerana pesakit degil tetapi kerana tabiat ini biasanya berkait rapat dengan emosi dan pengalaman hidup yang kompleks. Seseorang yang menyimpan barang selama bertahun-tahun memerlukan masa untuk mempelajari cara untuk melepaskan dan mengubah pola pemikirannya.
“Dalam beberapa kes masalah Hoarding, ubat-ubatan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan atau kebimbangan boleh membantu mengurangkan gejala berkaitan.
“Rawatan ini biasanya memakan masa kerana ia membabitkan perubahan dalam tabiat yang sudah lama terbentuk. Bagaimanapun, dengan sokongan yang betul, individu ini boleh menjalani kehidupan lebih teratur dan sihat,” katanya.
Bagaimanapun katanya, jika diurus dengan baik, memori lama boleh menjadi satu sumber kekuatan. Apabila seseorang dapat belajar untuk menerima dan menghargai kenangan tanpa terlalu terikat pada objek fizikal, ia membantu untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan sihat. Oleh itu, keseimbangan dalam mengurus kenangan adalah kunci untuk menjaga kesihatan mental.
Apabila berhadapan dengan individu yang sukar melepaskan barang-barang lama, pendekatan yang penuh empati adalah sangat penting. Keluarga perlu menyedari barang-barang berkenaan bukan sekadar objek tetapi mewakili kenangan yang bernilai bagi individu terbabit.
“Oleh itu, sebelum mengambil keputusan untuk membuang barang-barang yang disimpan, tanya mereka dahulu mengenai kepentingan barang itu dan babitkan mereka dalam proses memilih mana yang perlu disimpan dan mana yang boleh dibuang.
“Penting untuk mengelakkan tindakan membuang barang secara diam-diam atau secara paksaan. Tindakan seperti ini boleh menimbulkan perasaan marah, hilang kepercayaan dan rasa kecil hati yang mendalam,” katanya.
Dr. Nur Najwa Hanim menasihatkan, sebaiknya lakukan proses pembersihan ini secara berperingkat. Beri ruang bagi mereka untuk bercerita mengenai memori yang terikat pada barang-barang terbabit. Berkemungkinan anda boleh mengambil gambar sebagai kenangan sebelum barang itu dilepaskan.
Pendekatan ini bukan sahaja menjaga hubungan tetapi juga memberi ruang untuk individu terbabit menjalani proses pemulihan dengan lebih positif.
Didik anak-anak sejak kecil
Pendidikan mengenai nilai barang dan konsep melepaskan harus dimulakan sejak awal. Anak-anak perlu diajar mengenal pasti mana satu barang penting dan mana yang boleh didermakan atau diberikan kepada orang lain.
“Sebagai contoh, galakkan untuk menderma mainan yang sudah tidak digunakan atau pakaian yang sudah tidak muat lagi. Ini mengajar mereka untuk melepaskan barang dengan hati yang terbuka dan tanpa rasa sayang yang berlebihan.
“Namun yang paling penting adalah untuk memberi contoh. Ibu bapa yang dapat melepaskan barang dengan tenang dan tidak terlalu terikat dengan benda-benda material akan menunjukkan kepada anak-anak bahawa kenangan tidak terikat pada objek tetapi pada pengalaman dan hubungan yang dibina,” katanya. – UTUSAN









