LONDON: Menteri Britain yang bertanggungjawab menangani isu gelandangan, Rushanara Ali, meletak jawatan daripada kerajaan semalam selepas didedahkan beliau menaikkan kadar sewa sebuah hartanah miliknya dengan ketara.
“Dengan hati yang berat saya ingin mengemukakan surat peletakan jawatan saya sebagai seorang menteri,” kata Ali dalam suratnya kepada Perdana Menteri Keir Starmer.
Peletakan jawatannya berlaku sehari selepas akhbar harian I-Paper melaporkan beliau memberi notis empat bulan kepada empat penyewa untuk meninggalkan sebuah rumah di London yang dimilikinya dan kemudian menyewakannya semula beberapa minggu kemudian dengan sewa yang lebih tinggi sebanyak lebih 700 pound (RM3,980).
Beberapa persatuan yang memperjuangkan isu gelandangan dan ahli parlimen pembangkang menyatakan wanita berusia 50 tahun itu harus meletak jawatan.
“Susulan laporan terkini, saya ingin menjelaskan saya sentiasa mematuhi semua keperluan undang-undang yang berkaitan.
“Saya percaya saya menjalankan tanggungjawab dan tugas saya dengan serius, dan fakta menunjukkan perkara ini,” kata Ali dalam suratnya yang dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri.
Sebagai respons, Starmer mengucapkan terima kasih kepada Ali atas ‘kerja kerasnya’ di kementerian perumahan.











