BATU GAJAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam Op Gasak di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Bemban, di sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu, sebanyak 1,899 tong LPG 14 kilogram (kg) ditemukan dalam premis berkenaan yang beroperasi secara haram.
Katanya, hasil siasatan mendapati, stor yang beroperasi sejak sebulan lalu, menjalankan aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan gas LPG daripada tong berkapasiti 14kg ke dalam tangki.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis itu tidak mempunyai dokumen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan.
“Sehubungan itu, tindakan diambil dengan menyita sejumlah 1,899 tong LPG di mana sebanyak 871 tong berisi LPG 14kg manakala 1,028 pula tong kosong. Dianggarkan sebanyak 18,194kg LPG disita dengan nilai sitaan berjumlah RM66,508.60,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan semalam.
Tambah Kamalludin, pemilik premis, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dan lima pekerja lelaki warga Myanmar berusia 25 hingga 45 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket itu ialah membeli gas LPG bersubsidi 14kg daripada pemborong dari dalam dan luar Perak sebelum barang kawalan itu dihantar ke stor haram berkenaan untuk ‘decanting.’
“Gas daripada tong 14kg ini akan dipindahkan ke dalam tangki di stor sebelum ia dipindahkan ke dalam tangki lori untuk dijual kepada pihak industri bagi tujuan komersil.
“Berdasarkan harga semasa, LPG bersubsidi bagi tong 14kg dijual pada kadar RM1.90 sekilogram, namun, harga siling pasaran bagi LPG ialah RM5 sekilogram.” katanya. – UTUSAN











