KUALA LUMPUR: Malaysia akan membuat keputusan muktamad berhubung pembinaan loji tenaga nuklear selepas 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh terhadap aspek peraturan, teknologi, keselamatan dan penerimaan awam diselesaikan.
“Kajian terhadap teknologi tenaga nuklear masih berada di peringkat awal,” katanya kepada media selepas hadir ke Majlis Memacu Peralihan Tenaga Hijau di sini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata, walaupun tenaga nuklear kekal sebagai pertimbangan jangka panjang di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), pelaksanaannya bergantung kepada beberapa faktor utama termasuk penerimaan awam.
“Semua aspek perlu dipertimbangkan, keselamatan, kesejahteraan sosial rakyat dan sudah tentu perspektif alam sekitar,” jelasnya.
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) baru-baru ini, kerajaan telah menggariskan program pembangunan tenaga nuklear yang bertujuan membawa tenaga nuklear dalam talian menjelang 2031 yang akan diselia oleh MyPower Corp, sebuah agensi tujuan khas di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Fadillah berkata, sekiranya Malaysia membuat keputusan untuk membina loji tenaga nuklear selepas 2030, kerajaan menjangkakan akan membawa pulang tenaga pakar daripada diaspora Malaysia di luar negara bagi menyumbang kepada pembangunan sektor strategik ini.
“Sebaik sahaja kita membuat keputusan untuk membina loji tenaga nuklear, kita akan membawa pulang semua diaspora ke negara ini. Tapi buat masa ini, kita belum membuat keputusan lagi,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan fasa keenam Skim Bekalan Elektrik Solar Skala Besar (LSS6), beliau berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan.
Jelasnya, ini berikutan keperluan kerajaan menilai data penggunaan tenaga secara menyeluruh agar perancangan tenaga masa hadapan dibuat berasaskan keperluan sebenar dan bukan sekadar unjuran.
“Kami telah mengadakan pertemuan dengan lebih daripada 10 pihak berkepentingan. Buat masa ini, LSS Petra 5 dan 5 Plus telah dilaksanakan.
“Sama ada LSS6 akan diteruskan atau tidak bergantung kepada keperluan tenaga masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, walaupun terdapat permintaan tinggi yang diunjurkan terutamanya daripada pusat data dan anggaran tersebut belum dapat dijadikan asas yang kukuh untuk merancang kapasiti penjanaan tenaga tambahan.
“Banyak pihak memberikan anggaran permintaan tenaga yang besar, tetapi kami tidak mahu hanya bergantung kepada unjuran.
“Kami mahu melihat data penggunaan sebenar. Bukan hanya jangkaan, tetapi penggunaan yang benar-benar berlaku,” katanya. – UTUSAN









