JERANTUT tiada cawangan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kemudahan penduduk khususnya pelajar lepasan sekolah dan penjawat awam melanjutkan pelajaran. Setakat ini hanya ada Kolej Komuniti Jerantut dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC).
Sudah tiba masanya pemimpin setempat memainkan peranan proaktif untuk menubuhkan Cawangan Open University Malaysia (OUM). Penubuhan institusi ini penting bagi memberi peluang kepada penjawat awam melanjutkan pengajian, sekali gus meningkatkan tahap pendidikan dan gred gaji.
Hal ini membolehkan penduduk dan penjawat awam mengambil kesempatan hujung minggu untuk belajar. Mereka tidak perlu menampung kos pengangkutan dan penginapan kerana berada dekat dengan tempat kerja. Mereka juga boleh hadir kuliah waktu malam.
Jangan biarkan Jerantut terus ketinggalan dalam menyediakan akses pendidikan tinggi. Wakil rakyat, baik dari kerajaan mahupun pembangkang, perlu duduk semeja, berusaha merealisasikan penubuhan cawangan OUM di Jerantut. Pendidikan wajar menjadi agenda bersama demi kemajuan daerah ini.-UTUSAN
MANOLITO
Pahang










