Terengganu ambil langkah tegas isu ceroboh gali emas

Terengganu ambil langkah tegas isu ceroboh gali emas

KERATAN akhbar Utusan Malaysia berhubung kegiatan mencari gali emas secara haram yang dikesan berlaku di Kampung Bukit Tasik Apal, Besut, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kegiatan mencari gali emas secara haram yang dikesan berlaku di Kampung Bukit Tasik Apal, Besut, dekat sini sebelum mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan tidak  berkompromi dengan sebarang aktiviti pencerobohan tanah yang boleh mengundang risiko kepada keselamatan penduduk serta merosakkan alam sekitar.

“Sudah tentu kita akan ambil langkah-langkah yang sesuai dengan peruntukan yang ada dan kita juga siasat punca berlakunya perkara ini. Tindakan akan dibuat selepas siasatan lanjut dijalankan oleh agensi kerajaan berkaitan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beberapa individu sebelum ini dilaporkan menceroboh tanah pertanian milik persendirian di Kampung Bukit Tasik Apal bagi melakukan aktiviti mendulang emas secara haram.

Sementara itu, Ahmad Samsuri menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan baru-baru ini, sebagai mengecewakan apabila gagal mengambil peluang memperbaiki kelemahan pelaksanaan dasar pembangunan negara sebelum ini.

Dakwanya, Kerajaan Persekutuan dilihat tidak menggunakan kesempatan sepenuhnya untuk melakukan penambahbaikan terhadap kelemahan yang telah dikenal pasti dalam RMK sebelum ini.

“Secara lebih mendalam, saya akan bahaskan RMK13 di Dewan Rakyat minggu hadapan tetapi secara umum saya boleh katakan bahawa apa yang dibentangkan itu agak mengecewakan.

Perkataan itu mungkin sedikit pedas tetapi inilah hakikatnya. RMK13 sepatutnya menjadi medan untuk membetulkan pelbagai isu termasuk dari sudut pelaksanaan yang kerap menjadi kelemahan dalam rancangan-rancangan terdahulu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×