Tanggungjawab penjawatawam julang maruah negara

Tanggungjawab penjawat awam julang maruah negara

KEMAMPANAN sektor awam harus ditunjangi sepenuhnya dengan reformasi dan integriti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menekankan kerjasama mengukuhkan pembangunan sosioekonomi dan daya tahan negara.

Penjawat awam bertanggungjawab mendukung harapan tinggi meliputi pengukuhan nilai insaniah, cabaran menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia, memantapkan kedudukan kewangan kerajaan serta menjamin kehidupan rakyat yang bermaruah.

Malaysia dalam meniti RMK13 harus terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah mahupun rantaian bekalan.

Kesemuanya adalah iltizam komprehensif kerajaan yang mengharapkan ‘orang kepercayaan’ terdekat iaitu sektor awam dan warga perkhidmatan awam. Penjawat awam ejen perubahan paling signifikan. Mempunyai cabaran terbesar dalam usaha dan proses penambahbaikan sistem nilai serta tadbir urus.

Seringkali di ulang-ulang Perdana Menteri bahawa dalam melakar semula pembangunan negara, aspek kerohanian dan nilai insaniah merupakan agenda penting serta wajib diintegrasikan. Kedua-duanya perlu diperkasakan dalam usaha Malaysia melonjak ke arah negara berpendapatan tinggi berteraskan nilai. Dalam masa sama mewujudkan negara bangsa berdaulat dan bermaruah tinggi. Melahirkan rakyat berjiwa insaniah dengan menikmati kehidupan berkualiti.

TATAKELOLA TERBAIK

Bagi mencapai hasrat, RMK13 dengan jelas menumpukan kepada tiga kearifan utama iaitu:
• Tatakelola baik dalam pentadbiran negara.
• Menaikkan siling kerencaman semua sektor ekonomi.
• Menaikkan lantai darjat kehidupan rakyat secara terangkum dan responsif.

Tatakelola yang terbaik memerlukan iltizam dan komitmen seluruh warga sektor awam. Pemerkasaan integriti dan akauntabiliti perkhidmatan menjadi tunjang utama dalam membina kepercayaan rakyat, sekali gus memastikan kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan dasar-dasarnya. Usaha ini dapat direalisasikan melalui pelbagai inisiatif, antaranya pengukuhan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2.0 pasca 2026, demi mempertingkatkan ketelusan serta tadbir urus sektor awam secara menyeluruh.

DIGITAL

Perkhidmatan awam yang efisien bukan sahaja meningkatkan kepuasan rakyat, tetapi juga mempercepatkan pencapaian hasil dasar. RMK13 menetapkan tatakelola sektor awam terbaik harus dengan penggunaan teknologi, budaya digitalisasi dan penyusunan semula proses kerja berstruktur secara serius.

Komitmen ini jelas dalam saranan memperkasakan bakat digital negara dan memanfaatkan analitik data raya dengan sasaran 95 peratus perkhidmatan kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang 2030. Malaysia dilihat mampu berdiri megah sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital.

Dalam hal ini, pendekatan menyeluruh kerajaan untuk elakkan pertindihan fungsi bukan lagi kaedah cuba-cuba. Sudah tiada masa untuk bereksperimen. Tidak boleh ada lagi rasa kepunyaan bidang kuasa dan perasaan ‘nafsu nafsi’ mementingkan jabatan atau kementerian sendiri.

Dalam memastikan semua agensi berkongsi data dan memberikan perkhidmatan digitalisasi yang terbaik, adalah penting menerapkan gaya pendekatan reka bentuk berteraskan manusia, sekali gus mampu mengurangkan kegagalan disebabkan kekeliruan sistem dan meningkatkan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan digital awam.

Merujuk hal ini, RMK13 juga memberikan komitmen seperti pewartaan akta baharu Iltizam, penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan langkah-langkah tindakan tegas dalam penguatkuasaan undang-undang. Ia adalah komitmen yang diterjemahkan dengan pelaksanaan.

Seterusnya, pengurusan fiskal yang berhemat penting dalam memastikan kelestarian kewangan negara dan mengelakkan beban hutang yang sudah sedia berlebihan kepada generasi akan datang. Komitmen ini memerlukan paradigma perubahan sikap penjawat awam.

Pengukuhan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi menetapkan sempadan fiskal yang lebih tegas kepada kerajaan perlu dilaksanakan segera. Penggunaan Belanjawan Berasaskan Hasil (OBB), pelaksanaan sistem e-invois serta data analitik fiskal bagi meningkatkan kecekapan kutipan hasil dan mengurangkan ketirisan bukan lagi perkara yang boleh ditangguh-tangguhkan.

Menambah baik tatakelola juga merujuk kepada perihal usaha mengistitusikan kerajaan yang cekap dan berkesan. Juga memperkukuh sistem dan struktur supaya mampu beroperasi dengan efisien, bertanggungjawab dan responsif terhadap keperluan rakyat serta negara.

Indeks Tadbir Urus Sedunia (WGI) oleh Bank Dunia turut menyenaraikan kualiti perkhidmatan awam, pelaksanaan dasar berkesan dan konsistensi pelaksanaan undang-undang serta keberkesanan peraturan menjadi indikator penting. Dalam kata lain ia bukan sekadar meletakkan orang yang baik dalam kuasa, tetapi lebih penting, membina struktur sistemik lagi berdaya tahan.

MENOLAK PENCARIAN RENTE, MONOPOLI POLITIK

Selain daripada itu RMK13 menjanjikan penyediaan perkhidmatan sektor awam berpaksikan rakyat. Pelbagai program Madani Rakyat dan sesi libat urus melibatkan semua kerajaan negeri harus dilaksana serta diselesaikan segera.

Pelbagai projek pembangunan yang melibatkan ekonomi dan sosial rakyat harus dimuktamadkan. Usaha kerajaan melalui RMK13 untuk merangka perundangan baharu berkaitan aktiviti pencarian rente (rent seeking) dihargai. Ia melibatkan keuntungan atau kekayaan bukan melalui penghasilan nilai sebenar tetapi dengan memanipulasi sistem demi kepentingan sendiri.

Sektor awam juga harus mampan dan bekerja keras dalam penyelesaian aktiviti monopoli melalui lesen khas ataupun lobi politik, tender rundingan terus dan peraturan ketat yang memihak. Ia hanya akan mengurangkan kecekapan ekonomi dan menggalakkan rasuah serta ketirisan.

Begitu juga dengan usaha kerajaan dalam meneruskan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) perlu mendapat sokongan penuh seluruh warga sektor awam.

Ini semua harus diusahakan dengan adil dengan sebuah sistem yang berstruktur.

TULANG BELAKANG

Akhir sekali mengurus perubahan bukan sekadar melaksanakan RMK13 semata-mata. Ia berkaitan dengan pendekatan spesifik penjawatnya dalam memastikan kemampanan sistem nilai dan tatakelola tadbir urus sedia ada agar sentiasa berubah secara dinamik bagi mencapai matlamat ditetapkan.

Kemampanan sektor awam harus ditunjangi dengan reformasi dan integriti sepenuhnya. Hanya dengan perubahan sistem nilai tatakelola maka kemampanan dan kelestarian hidup rakyat terus terpelihara.

Dengan sokongan tidak berbelah bahagi warga sektor awam, mudah-mudahan negara ini dipimpin dan ditadbir dengan amanah. Semoga hajat negara melalui RMK13 iaitu mahu mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan rakyat terbanyak menikmati kehidupan selesa, peluang saksama dan peningkatan maruah harga diri rakyat dicapai.-UTUSAN

DR. Lutfan Jaes ialah Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×