KUALA TERENGGANU: Pas sedia untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asalkan hala tuju perjuangan selari dengan matlamat gabungan Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesediaan itu bukan hanya terhad kepada parti komponen seperti MIC atau MCA bahkan terbuka kepada semua pihak yang berkongsi aspirasi membina Malaysia yang lebih baik.
“Saya rasa kerjasama bukan hanya dengan MIC atau MCA, bahkan semua pihak yang mempunyai citarasa sama dengan perjuangan PN untuk memperjuang sebuah negara yang lebih baik daripada yang ada sekarang.
“Kita mengajak semua pihak termasuk NGO dan mana-mana parti politik yang ada dalam negara ini untuk bersama PN, itu juga selaras dengan apa yang saya faham tentang perjuangan gabungan ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin bahawa PN bersikap terbuka terhadap kerjasama dengan parti-parti lain dalam usaha memperkukuh kekuatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Hashim sebelum ini turut menjelaskan bahawa secara prinsipnya, Pas tidak menolak kerjasama dengan mana-mana pihak kecuali DAP namun sebarang rundingan perlu diputuskan di peringkat tertinggi gabungan.
Mengulas perkembangan di Sabah, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Pas kekal menyokong pendekatan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurutnya, jentera Pas sudah mula digerakkan di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah bagi membantu jentera tempatan PN.
“Di pihak Pas, saya percaya langkah sedang diambil seiring dengan pendekatan PN untuk terlibat dalam PRN Sabah. Keputusan akhir secara rasmi mengenai bentuk kerjasama politik di Sabah dijangka diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya. – UTUSAN











