WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Rwanda mencapai persetujuan untuk membenarkan negara Afrika itu menerima sehingga 250 migran yang dihantar pulang dari AS, menurut jurucakap kerajaan.
Perjanjian ini menandakan langkah lebih tegas pentadbiran Presiden AS, Donald Trump terhadap pendatang asing di negara itu.
Menurut pegawai Rwanda, perjanjian tersebut ditandatangani di ibu negara Kigali pada Jun dan Washington sudah pun menghantar senarai awal yang mengandungi 10 individu untuk disaring.
“Rwanda bersetuju dengan AS untuk menerima sehingga 250 migran kerana hampir setiap keluarga Rwanda pernah mengalami kesukaran akibat perpindahan dan nilai-nilai masyarakat kami berasaskan pemulihan dan pengintegrasian semula,” kata jurucakap kerajaan, Yolande Makolo dipetik Reuters.
Katanya, Rwanda mempunyai kuasa untuk meluluskan setiap individu yang dicadangkan untuk penempatan semula itu.
Mereka yang diluluskan akan menerima latihan kemahiran kerja, penjagaan kesihatan dan sokongan tempat tinggal bagi membantu memulakan kehidupan baharu di Rwanda yang mencatat pertumbuhan ekonomi pesat dalam dekad lalu.
Pentadbiran Trump berhasrat untuk mengusir berjuta-juta pendatang tanpa izin dari AS dan kini semakin giat menghantar mereka ke negara ketiga, termasuk pesalah jenayah ke Sudan Selatan dan Eswatini.
Menurut pegawai kerajaan, Rwanda akan menerima bayaran berbentuk geran daripada AS sebagai sebahagian daripada perjanjian ini.
Surat perjanjian geran itu dimuktamadkan pada Julai, tetapi jumlahnya tidak didedahkan.
Rwanda juga mempunyai pilihan untuk melanjutkan jumlah penerimaan melebihi 250 orang dengan persetujuan bersama.
Mereka yang dihantar ke Rwanda tidak diwajibkan untuk menetap di sana secara kekal dan bebas untuk meninggalkan negara itu bila-bila masa.
Kerajaan juga mengesahkan hanya akan menerima individu yang sudah menamatkan hukuman penjara atau yang tidak berdepan pertuduhan jenayah dan tiada pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan diterima.
Dasar pengusiran ke negara ketiga oleh Trump dikritik oleh kumpulan hak asasi sebagai kejam dan berisiko kerana migran boleh dihantar ke negara yang tidak mereka kenali, tidak bertutur bahasa tempatan dan mungkin berdepan keganasan.
Pada Jun lalu, Mahkamah Agung membenarkan kerajaan AS meneruskan dasar pengusiran ini tanpa memberi peluang kepada individu untuk membuktikan mereka akan terancam.
Bagaimanapun, kesahihan undang-undang dasar ini sedang dicabar di Mahkamah Persekutuan di Boston, yang dijangka mungkin dibawa semula ke Mahkamah Agung.










