Aimay didakwa edar dadah

Aimay didakwa edar dadah

TERTUDUH dibawa polis untuk menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang lelaki yang menjadi buruan polis selama tiga tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan wanita hamil tujuh bulan ditembak pada perut, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 65 kilogram (kg) dadah jenis kanabis, Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zulhakimy Aiman Suhairuddin, 24, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Zulhakimy Aiman atau dikenali sebagai Aimay bersama tiga lagi yang sudah dituduh di mahkamah didakwa mengedar sebanyak 65 kg dadah jenis kanabis di dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry. Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah kedai di Kampung Pak Jak, Alor Pasir di sini kira-kira pukul 2.50 petang pada 22 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Baihaqy Mohd. Saidi dan Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Terdahulu, Zulhakimy Aiman yang diburu berhubung kes pembunuhan wanita hamil tujuh bulan yang ditembak pada perut sebelum mayatnya ditinggalkan dalam kereta di Kampung Teresek, Repek di sini tiga tahun lalu, dilaporkanakhirnya diberkas pada 23 Julai lepas. Suspek ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di jalan Bukit Lata di sini kira-kira pukul 7 malam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hasrat seorang wanita yang sarat hamil untuk mengurut tidak kesampaian apabila dia maut selepas terkena tembakan pada perut di Repek pada 3 Jun 2022.

Mayat Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga ibu tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun ditemukan kira-kira pukul 4 petang dalam keadaan terbaring di tempat duduk kereta jenis Nissan Cefiro. Siasatan polis mendapati, mangsa dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol jenis semiauto .380 berdasarkan penemuan kelongsong peluru di dalam kereta tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×