PETALING JAYA: Kerajaan digesa menetapkan harga siling dan jadikan ia barang kawalan bagi ujian calitan Covid-19 di semua institusi kesihatan swasta bagi menggalakkan orang ramai melakukan saringan secara sukarela.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, buat masa ini harga kedua-dua ujian saringan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen berbeza dengan ada yang mencecah hingga RM400.
“Sepatutnya ia perlu dikawal kerana kedua-dua alat ujian ini bukan untuk tujuan meraih keuntungan dan ia perlu ditetapkan satu harga atau harga siling apatah lagi kini berlaku penularan kes Covid-19, jadi ramai yang pergi lakukan ujian saringan.
“Bagi yang mampu dan dibiayai majikan ia tidak masalah, tetapi bagaimana pula bagi golongan luar bandar dan miskin bandar, sudah pasti mereka tidak mampu.
“Kalau nak harapkan ujian di klinik-klinik Kementerian Kesihatan petugas kerajaan sudah tidak menang tangan kerana banyak kes, jadi hanya premis swasta adalah pilihan alternatif,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye mengesa kerajaan untuk memberi perhatian serius terhadap pihak-pihak yang cuba menjadikan Covid-19 sebagai lubuk emas untuk mereka membuat keuntungan berlipat ganda.
Katanya, ini berikutan terdapat kes pesakit Covid-19 yang diletakkan di hospital swasta didakwa terpaksa membayar caj rawatan tinggi.
Menurut beliau, hospital swasta tidak wajar mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan besar ketika pandemik dengan mengenakan caj tinggi untuk merawat pesakit Covid-19.
“Ini tidak sewajarnya berlaku khususnya ketika musim pandemik makin serius. Diharapkan hospital swasta dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk sama-sama meringankan beban rakyat.
“Dengan cadangan demikian, ia bukanlah niat saya menuding jari cuma secara am diharap dalam masa yang amat kritikal ini tidak ada mana-mana pihak menangguk di air keruh berkaitan usaha menentang Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.- UTUSAN











