Guru mengaku tidak bersalah cabul murid 11 tahun

Guru mengaku tidak bersalah cabul murid 11 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang guru berusia 51 tahun yang masih bujang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun di dalam kereta dan tandas di dua lokasi, dekat sini tahun lalu.

Tertuduh, Syahril Faiza Zakaria membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai guru yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa didakwa melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun enam bulan. Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta ketika sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah kompleks beli-belah di sini, kira-kira pukul 2 petang pada Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Syahril Faiza sebagai guru yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama. Perbuatan itu dilakukan di sebuah tandas di pusat peranginan di Pantai Cahaya Bulan, di sini, Mei tahun lalu.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Kesemua kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Saifullah Che Mat

Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 untuk keempat-empat pertuduhan dengan syarat tambahan, iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan selain menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×