RM3,000 pendapatan wajar untuk hidup di KL

RM3,000 pendapatan wajar untuk hidup di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia memerlukan perdapatan mi­nimum RM3,000 sebulan bagi menampung kehidupan asas terutama di ibu negara dan bandar-bandar besar lain.

Angka itu adalah pendapatan wajar berdasar situasi ekonomi semasa di negara ini.

Menurut pakar ekonomi, wa­laupun kerajaan mewajibkan gaji maksimum RM1,700 tetapi ia belum mencukupi untuk menampung kehidupan di bandar terutama yang berkeluarga hing­ga memaksa mereka melakukan dua kerja atau lebih.

Sebaliknya gaji minimum RM1,700 itu lebih banyak meng­untungkan pekerja asing berbanding rakyat tempatan yang terus dibebani kos sara hidup tinggi.

Ia disifatkan tidak ideal untuk menampung kehidupan di ibu kota malah sistem pengiraan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) menunjukkan perbelanjaan bagi individu bujang di kawasan bandar adalah sekitar RM2,300 sebulan manakala bagi yang berkeluarga, jumlah wajar boleh mence­cah RM4,955 sebulan.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, penetapan gaji minimum seharusnya mengambil kira faktor geografi dan jenis pekerjaan kerana ke­perluan di bandar jauh berbeza berbanding luar bandar.

“Gaji RM1,700 sesuai untuk pekerja tidak berkelayakan, biasanya warga asing di kilang atau pengawal keselamatan. Tapi rakyat tempatan, terutama di bandar, perlukan lebih.

“Pekerja tempatan perlu bayar sewa, bil utiliti dan tanggu­ngan lain, sebaliknya pekerja asing boleh tinggal berhimpit hingga 20 orang sebilik, makan sekadar cukup hidup untuk hantar wang ke kampung halaman mereka,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan kadar gaji minimum RM1,700 diumumkan kerajaan walaupun melegakan tetapi masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat di bandar-bandar besar khususnya bagi golongan muda.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sebahagian besar pekerja terpaksa mengubah gaya hidup secara drastik termasuk melakukan dua pekerjaan, membawa bekal ke tempat kerja, memasak sendiri dan menangguhkan perkahwian bagi mengumpul wang demi kelangsungan hidup di kota metropolitan.

Kerajaan pada pembenta­ngan Belanjawan 2025 mengumumkan kenaikan gaji mi­­nimum RM1,700 sebagai sebahagian usaha penstrukturan ekonomi.

Majikan yang gagal patuh boleh dikenakan denda hingga RM10,000 bagi setiap pekerja, tambahan RM1,000 sehari jika kesa­lahan berterusan, dan bagi kesalahan berulang, denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Barjoyai berkata, ramai pekerja tempatan juga masih dibayar bawah paras minimum RM1,700 walaupun kadar baharu itu berkuat kuasa 1 Ogos lalu, terutama dalam sektor pelancongan, perladangan dan pertanian malah golongan ini paling tertekan kerana gaji rendah tidak setimpal de­ngan komitmen harian mereka.

Begitupun, Barjoyai mengi­ngatkan, peningkatan gaji secara drastik juga boleh memberi kesan buruk kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ramai mungkin tutup operasi kalau tak mampu bayar lebih. Jadi, penyelesaian jangka panjang ialah beri latihan semula dan tambah kemahiran supaya rakyat mampu beralih kepada kerja yang menawarkan gaji lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata menurut PAKW, warga kota sepatutnya memperoleh pendapatan wajar antara RM2,300 hingga RM5,000 sebulan bagi menampung pelbagai keperluan harian dan kos sara hidup pada hari ini.

Katanya, purata perbelanjaan minimum di ibu kota bagi individu bujang boleh mence­cah RM2,200 sebulan me­l­i­puti sewa rumah, pengangkutan dan makanan dan ia belum termasuk simpanan, insurans atau kecemasan.

“Meskipun kadar gaji minimum penting sebagai garis asas pendapatan namun, jumlah itu perlu dikaji semula.

“Pengurusan kewangan se­perti kaedah 50:30:20 ialah pembahagian pendapatan kepada 50 peratus keperluan, 30 peratus kehendak dan 20 peratus simpanan atau bayar hutang, bagi memastikan kewa­ngan lebih seimbang, namun hanya boleh digunakan jika pendapatan berada pada paras yang sesuai.

“Namun formula ini hanya relevan jika pendapatan selari dengan kos sara hidup. Begitupun secara realitinya, ramai tidak mampu bergantung kepada gaji minimum dan perlu mencari pendapatan tambahan melalui kerja sambilan, perniagaan atau pelaburan,” katanya.

Mohamad Fazli yang juga Naib Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC), turut menyarankan kerajaan mengkaji semula kadar semasa agar lebih relevan dan membantu rakyat keluar daripada tekanan kewangan.

Sementara itu Zuhaili Az­man, 23, yang bekerja siang sebagai kakitangan pengurusan dan malam sebagai penghantar makanan berkata, walaupun berjimat, kos sewa, makan dan pengangkutan tetap membebankan.

“Saya tidur paling awal jam 12.30 malam. Selepas habis kerja pejabat, saya rehat sekejap sebelum sambung kerja malam. Semuanya untuk terus hidup di bandar dan berharap kerajaan menstruktur semula gaji minimum demi kebajikan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×