Gaji tidak setimpal punca belia berhijrah

Gaji tidak setimpal punca belia berhijrah

GOLONGAN belia tidak keberatan untuk berhijrah ke negeri lain seandainya langkah itu mampu memberikan pendapatan yang lebih baik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan majikan di Perlis, Kelantan dan Sabah melaksanakan gaji minimum RM1,700 seperti diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, boleh mengakibatkan lebih ramai belia negeri berkenaan berhijrah ke negeri lain.

Mentaliti majikan dan alasan lapuk tiada kemampuan untuk melaksanakan gaji minimum menjadi penyumbang negeri terbabit ditinggalkan golongan belia yang mencari peluang le­bih baik.

Kegagalan majikan untuk melaksanakan gaji minimum itu juga akan mengakibatkan jurang kemiskinan di negeri tersebut semakin melebar.

MENTALITI

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, setiap majikan harus menghapuskan mentaliti bahawa mereka tidak mampu untuk meningkatkan kadar gaji minimum kepada pekerja.

Menurut beliau, ketidakupayaan majikan untuk mening­katkan gaji minimum akan menyebabkan rakyat berhijrah.

“Penghijrahan lebih besar akan menyebabkan negeri-ne­geri itu mengalami kekurangan tenaga kerja dan ketinggalan lebih jauh berbanding negeri lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk rekod, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia dengan kadar kemiskinan pada 19.7 peratus, Kelantan di tangga kedua dengan 13.2 peratus manakala Perlis empat peratus.

Terdahulu akhbar mela­porkan, majikan di tiga negeri tidak bersedia melaksanakan gaji minimum RM1,700 kerana pertumbuhan ekonomi dan ekosistem perniagaan yang belum kukuh untuk menampung kenaikan sebanyak RM200 bagi setiap pekerja itu.

Majikan di Perlis serta Kelantan dijangka terkesan dengan pelaksanaannya berikutan saiz negeri yang kecil dan kos sara hidup rendah manakala di Sabah ekoran masalah kos bahan mentah yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.

INFLASI

Dalam pada itu, Pakar Ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pihak majikan haruslah mempertimbangkan tentang kenaikan gaji minimum bagi meringankan beban pekerja yang semakin meningkat akibat inflasi dan tekanan ekonomi.

“Majikan mestilah bertanggungjawab untuk mematuhi kadar gaji minimum yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Mereka tidak haruslah berkira dalam berkongsi keuntungan perniagaan dengan pekerja. Peningkatan kadar gaji juga mampu meningkatkan produktiviti setiap pekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×