Tiada maklumat Zayn Rayyan diabaikan, didera - Pakar

Tiada maklumat Zayn Rayyan diabaikan, didera – Pakar

ZAYN RAYYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saksi pem­be­la­an kelima memberitahu Mah­kamah Sesyen di sini semalam bahawa tiada sebarang maklumat yang menunjukkan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Ab­dul Matin diabaikan atau di­dera.

Pakar Psikologi Kanak-kanak, Dr. Noor Aishah Rosli, 49, membuat kenyataan tersebut berda­sarkan tiga laporan perubatan daripada dua hospital kerajaan iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang.

Laporan yang dirujuk ialah laporan daripada saksi pendakwaan ke-23, Pegawai Perubatan di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) Hospital Sungai Buloh, Dr. Hanisah Abd. Nasir ketika Zayn Rayyan menjalani terapi pertuturan pada umur dua tahun.

Dua lagi laporan disediakan oleh saksi pendakwaan ke-24, bekas Doktor Pakar Pediatrik Hospital Selayang, Dr. Bernice Lim Pei-Yi berhubung tahap pertuturan Zayn Rayyan.

Beliau bekata demikian ketika disoal oleh peguam bela, Haresh Mahadevan pada prosi­ding bela diri ibu kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf, 30, yang didakwa mengabaikan Zayn Rayyan.

Haresh: Ada atau tidak doktor dibekalkan dengan tiga laporan perubatan oleh Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh?

Noor Aishah: Ya, ada.

Haresh: Ada atau tidak doktor membaca kandungan laporan?

Noor Aishah: Ya, saya baca.

Haresh: Ada atau tidak apa-apa di dalam laporan tersebut yang menunjukkan bahawa ar­wah Zayn Rayyan ini seorang kanak-kanak yang diabaikan atau­pun didera. Ada atau tidak?

Noor Aishah: Tidak ada satu perkataan pun yang menjurus keadaan (pengabaian, pendera­an) itu.

Selain itu, pakar yang mempunyai klinik sendiri itu memberitahu, ‘pengabaian’ yang di­nyatakan dalam pertuduhan tidak menyatakan secara spesifik cara pengabaian itu dilakukan.

Menurutnya, perkataan ‘mung­kin’ yang digunakan untuk me­rujuk kepada pengabaian seperti dalam pertuduhan pindaan tidak menepati definisi oleh Persatuan Psikologi Amerika Syarikat (APA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Mengikut pertuduhan, Isma­nira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Haresh: Saya ingin merujuk saksi kepada pertuduhan pindaan. Baca setiap baris.

Noor Aishah: (membaca pertuduhan pindaan) Dikatakan telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Haresh: Doktor sebentar tadi ada memberitahu ke mahkamah cara-cara ataupun definisi pe­ngabaian dan contoh-contoh.

Noor Aishah: Ya.

Haresh: Adakah cara penga­baian dihuraikan di dalam pertuduhan pindaan yang ada di hadapan doktor?

Noor Aishah: Jika melihat kepada ayat iaitu ‘telah mengabaikan kanak-kanak itu de­ngan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal’, saya melihat perkataan ‘mungkin’ itu adalah satu yang tiada kepastian, yang menekankan kepada fizikal.

Haresh: Ada atau tidak cara (merujuk kepada definisi pengabaian yang dijelaskan) tertuduh mengabaikan kanak-kanak wujud di dalam pertuduhan?

Noor Aishah: Tidak ternyata di sini.

Terdahulu, saksi itu menjelaskan definisi pengabaian perlu memenuhi empat kriteria iaitu pengabaian menerusi emosi, fizikal, pendidikan dan keperluan asas.

Katanya, definisi daripada APA dan WHO dijadikan rujukan memandangkan tiada takrifan rasmi mengenai pengabaian kanak-kanak di peringkat nasional.

Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri oleh mahkamah manakala suami­nya, Zaim Ikhwan Zahari yang sebelum ini didakwa bersama wanita itu dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Perbuatan itu didakwa dila­kukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×