PETALING JAYA: Sasaran pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.6 peratus setahun serta usaha menempatkan Malaysia dalam kelompok 12 teratas Indeks Daya Saing Dunia (IMD) menjelang 2030 adalah realistik dan memerlukan pelaksanaan yang bersepadu, kata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail berkata, MPC menyambut baik kesungguhan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menetapkan peningkatan produktiviti buruh merupakan landasan utama kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
Katanya, ia selain pengukuhan gaji munasabah dan daya tahan industri dalam menghadapi tekanan kos yang semakin tinggi di peringkat global.
“Kenaikan kos global yang didorong oleh gangguan rantaian bekalan, kekurangan tenaga kerja dan perubahan struktur ekonomi menuntut pendekatan bersifat struktural dan sistemik.
“Meningkatkan produktiviti adalah jalan terbaik untuk memastikan ketahanan ekonomi, kestabilan harga dan kesejahteraan rakyat.
“Sebagai langkah awal ke arah pencapaian sasaran RMK13, MPC melaksanakan Program Akademi Dalam Industri (ADI) bagi merapatkan jurang antara pendidikan dan kemahiran selaras dengan keperluan industri,” katanya dalam kenyataan.
MPC juga sedang membangunkan Jejak Indikator Daya Saing Negara, iaitu satu analisis bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam dasar, peraturan dan amalan yang mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking (WCR).
Pendekatan itu telah mula dilaksanakan sejak tahun lalu dan telah menyumbang secara signifikan kepada lonjakan 11 anak tangga kepada kedudukan ke-23 dalam laporan WCR 2025.
Selain itu, pendekatan itu diteruskan dalam membantu pembuat dasar bertindak lebih pantas dan tepat bagi melaksanakan penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan daya saing negara secara berterusan.
Dalam pada itu, MPC beriltizam menjalin kerjasama lebih erat dengan kementerian, agensi dan sektor swasta, terutama melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan 14 Pasukan Nexus Produktiviti.
Ini bertujuan agar setiap inisiatif pembaikan yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan terhadap produktiviti buruh, sekaligus memperkukuh usaha Malaysia untuk mencapai kedudukan 12 negara paling berdaya saing di dunia menjelang 2030. – UTUSAN










