Datuk Bandar Athens bertikam lidah dengan duta Israel ke Greece isu grafiti antisemitik - Utusan Malaysia

Datuk Bandar Athens bertikam lidah dengan duta Israel ke Greece isu grafiti antisemitik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Datuk Bandar Athens, Haris Doukas bertikam lidah dengan Duta Israel ke Greece, Noam Katz pada Ahad selepas diplomat itu menuduh pihak berkuasa bandar tidak mengambil tindakan mencukupi untuk membersihkan grafiti antisemitik yang berleluasa.

Dalam kenyataan kepada akhbar Kathimerini pada Ahad, Katz mendakwa bahawa pelancong Israel berasa ‘tidak selesa’ berada di Athens kerana Datuk Bandar tidak bertindak terhadap ‘minoriti terancang’ yang menyebarkan grafiti anti-Yahudi.

“Kami telah membuktikan penentangan tegas terhadap keganasan dan perkauman malah kami tidak perlukan pengajaran tentang demokrasi daripada mereka yang membunuh orang awam,” tulis Doukas di platform X.

“Athens, sebagai ibu negara kepada sebuah negara demokrasi menghormati sepenuhnya pengunjungnya dan menyokong hak kebebasan bersuara rakyatnya,” tambah beliau yang juga merupakan ahli parti berhaluan kiri, PASOK.

Beliau turut menyindir duta Israel kerana terlalu fokus pada isu grafiti.

“Amat menjijikkan apabila duta hanya menumpukan pada grafiti (yang sebenarnya telah dipadam) sedangkan pembunuhan beramai-ramai yang tidak pernah berlaku sebelum ini sedang berlaku di Gaza,” tegas Doukas.

Sejak bermulanya perang di Gaza pada Oktober 2023 susulan serangan Hamas ke atas Israel, gelombang sokongan terhadap rakyat Palestin semakin ketara di negara-negara Eropah, termasuk Greece.

Demonstrasi pro-Palestin yang diketuai golongan kiri telah berlangsung di beberapa bandar utama. Malah, kapal persiaran yang membawa pelancong Israel di pulau-pulau Greece disambut dengan protes di beberapa pelabuhan.

Walaupun sebelum ini mengamalkan dasar pro-Arab selama beberapa dekad, Greece mula mengeratkan hubungan dengan Israel sejak 2010, khususnya dalam bidang keselamatan dan tenaga.

Menurut Datuk Bandar Athens, bilangan warga Israel yang memperoleh permit kediaman di Greece melalui pembelian hartanah meningkat sebanyak 90 peratus tahun lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×