HAK rakyat untuk berhimpun dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia adalah dijamin dalam perlembagaan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perhimpunan awam disebut dalam Perkara 10; kebebasan bercakap (bersuara) berhimpun dan berpersatuan. Ia adalah berkaitan hak asasi manusia kerana menjadi tabiat semula jadi manusia untuk bertemu dan berhimpun di majlis-majlis tertentu untuk pelbagai tujuan, termasuk berhimpun untuk tunjuk perasaan atau memprotes pihak-pihak tertentu secara yang dibenarkan oleh undang-undang.
Dalam konteks politik, hak untuk berhimpun ini juga penting untuk menunjukkan protes terhadap kerajaan yang dianggap gagal mengurus negara dan rakyat. Perhimpunan politik secara aman ini dapat mewujudkan persaingan politik yang adil dan sihat.
Hakikatnya, dalam konteks amalan demokrasi hak rakyat untuk berhimpun tidak boleh disekat atau dinafikan sama sekali.
Akta Perhimpunan Aman 2012 (AAkta 736) yang diwujudkan juga jelas mencerminkan betapa hak untuk berhimpun secara aman itu selari dengan Perkara 10 tersebut.
Pun begitu, Perlembagaan juga jelas menyebut bahawa kebebasan di bawah Perkara 10 ini tertakluk kepada sekatan-sekatan undang-undang yang boleh diluluskan oleh Parlimen seperti yang disebut dalam Perkara 10(2)(b) bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Sebelum adanya Akta 736 ini, Akta Polis 1967 digunakan untuk mengawal perhimpunan awam yang mana sekatannya lebih ketat. Antaranya perlu ada permit polis yang disertai dengan syarat yang menyukarkan perhimpunan, dan permit itu pula boleh dibatal di saat-saat akhir dengan pelbagai alasan.
Selain itu, kuasa polis untuk menyuraikan sesuatu perhimpunan itu dilakukan dengan cara yang agak keras.
Akta 736 yang di dalamnya ada menyebut tentang demokrasi meletakkan dua fungsi utama iaitu memberikan hak berhimpun secara aman dan mengawal perhimpunan agar tidak menjelaskan keselamatan, ketenteraman awam dan hak orang lain.
Pasukan polis tetap bertanggungjawab mengawal perhimpunan aman dengan kaedah-kaedah kawalan yang munasabah.
Yang perlu difahami ialah tiada kebebasan mutlak dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.
Pemerintah boleh mengawal kebebasan untuk kepentingan awam. Peraturan dan undang-undang berkaitan dengan ‘perhimpunan tempat awam’ ini perlu dipatuhi kerana faktor-faktor keselamatan dan ketenteraman awam juga perlu dijaga.
Justeru, Akta 736 ini secara tidak langsung menjadi garis panduan bagi mengadakan perhimpunan aman atau ‘peaceful assembly’.
Apapun, dalam negara demokrasi rakyat boleh sahaja menyertai apa-apa perhimpunan, termasuk perhimpunan jalanan atau perhimpunan politik bagi menyuarakan bantahan atau sokongan.
Tiada siapa boleh menghalangnya kerana ia dijamin oleh perlembagaan dan akta berkaitan dengannya.
Besar atau kecilnya perhimpunan itu bergantung kepada sokongan dan kecenderungan orang ramai untuk menyertainya.
Contoh terbaru ialah perhimpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur telah disertai dalam jumlah yang agak besar.
Perhimpunan tersebut telah berjalan secara aman tanpa sebarang kejadian buruk yang berlaku. Perhimpunan tersebut telah mendapat perhatian meluas sama ada dari media tempatan mahupun antarabangsa, media konvensional mahupun media sosial yang dilakukan secara langsung.
Tidak boleh dinafikan bahawa kaedah perhimpunan jalanan ini menjadi pilihan pihak penganjur kerana ia lebih mudah mendapat perhatian, selain ia boleh menarik sokongan ramai terhadap perjuangan mereka. Lagi besar perhimpunan itu maka lagi besarlah kesannya, sekurang-kurangnya untuk jangka masa sehingga diadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Justeru, tidak mustahil akan ada siri-siri demonstrasi yang sama dibuat oleh pembangkang untuk mencetuskan momentum sokongan terhadap mereka.
Justeru, kerajaan tidak boleh memandang rendah pengaruh dan kesan perhimpunan rakyat seperti ini.
Walaupun penyokong-penyokong kerajaan melihat bahawa motif politik menjadi dorongan utama penganjur demonstrasi, namun saya percaya bahawa perhimpunan yang besar itu telah dapat menarik dan mengikat semangat dan solidariti rakyat, terutamanya orang Melayu yang majoritinya menyertai perhimpunan tersebut, sekali gus dapat menjejaskan kedudukan kerajaan pada PRU-16 nanti.
Islam juga telah meletakkan tahap akauntabiliti kerajaan yang sangat tinggi yang mana kerajaan mesti telus dan bersedia untuk ditegur walaupun melalui perhimpunan rakyat secara aman, selagi ia bukan untuk mencetuskan kekacauan tetapi sebagai bentuk amar makruf dan nahi mungkar. Justeru, perhimpunan aman seperti ini tidak boleh dianggap ‘bughah’ atau penderhaka.
Perhimpunan jalanan yang berlaku tempoh hari itu hanya sekadar satu luahan perasaan dan bantahan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap melaksanakan polisi sosioekonomi yang menyusah dan menekan rakyat. Secara keseluruhannya, perhimpunan tersebut berlangsung dengan penuh tertib dan aman serta tidak terlalu terbawa-bawa dengan ledakan emosi yang melampau.
Bagi kerajaan, jalan terbaik ialah mengambil langkah mendengar suara rakyat dan segera membaiki kelemahan, dan sekiranya tidak mampu lagi memimpin dengan baik maka lebih baik melepaskan jawatan seperti yang pernah dilakukan oleh beberapa pemimpin terdahulu.
Selain itu, pembubaran Parlimen lebih awal untuk memberi laluan kepada PRU-16 juga boleh dipertimbangkan untuk memberi mandat kepada rakyat membuat pilihan yang terbaik.
Pilihan raya sebagai saluran demokrasi dapat membuka ruang yang luas untuk menawarkan kerajaan baharu. – UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










