PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui pasukannya masih mencari ramuan terbaik walaupun bersedia untuk sebarang kemungkinan apabila mengharungi saingan liga yang mencabar pada musim 2025-2026.
Selangor FC dijadual menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih pada 8 ogos ini menandakan bermulanya Liga Super musim 2025-2026 malah mereka turut mengambil bahagian dalam kempen Piala Shopee dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
“Ya, anggaran kami adalah musim ini, musim yang akan datang, akan menjadi sangat sukar. Saya rasa lebih sukar daripada tahun lepas. Jadi kita mesti bersedia dan berharap yang terbaik, sudah tentu, tetapi bersedia untuk yang terburuk,” katanya.
Selangor FC mengadakan lima perlawanan dalam tempoh 10 hari sepanjang pramusim mereka di Thailand pada bulan lalu bagi mendapatkan suasana sebenar apabila saingan liga sudah bermula.
“Kami telah selesai kem latihan di Thailand dan kami ada lima perlawanan dalam 10 hari. Memang perlawanan yang sangat mencabar. Tapi, okay, keputusan tetap keputusan, tetapi daripada segi pengisiannya kami menemui beberapa masalah dan juga beberapa harapan.
“Tetapi, kami mesti menunjukkan peningkatan untuk liga yang akan datang, Piala Shopee, ACL2, dan Piala FA, serta banyak lagi,” katanya.
Jurulatih dari Jepun itu turut berkata, pemainnya kini berada di tahap terbaik namun dia masih mencari ramuan terbaik buat pasukannya bagi menghadapi musim baharu nanti.
“Setakat ini, kami tidak mempunyai pemain yang mengalami kecederaan serius dan juga tiada masalah besar dalam skuad kami,” katanya. – UTUSAN











