MASJID bukan sekadar simbol fizikal semata-mata tetapi merangkumi lambang kehidupan Islam yang menyeluruh menyangkut peranan rohani, sosial dan intelektual.
Dalam hal ini, Masjid Jamek Sungai Lesong, Tapah yang didirikan pada awal 1920-an berperanan utuh dalam tradisi keilmuan agama Islam setempat dengan pengajian secara konsisten setiap minggu bermula selepas solat Subuh sehingga menjelang waktu Isyak.
Ketua Imam masjid ikonik itu, Othman @ Juman Shah berkata, peranan setiap ahli jawatankuasa sememangnya penting bagi memastikan rumah ibadah itu ‘bercahaya’ selain aktif dan bukan sekadar penuh ketika solat Jumaat.
“Bagi meningkatkan ekonomi umat Islam misalnya, terdapat sebuah kedai gunting beroperasi di masjid ini untuk kemudahan kariah sekitar menggunting rambut dengan harga berpatutan.
“Penggunting rambut mendapat pendapatan konsisten sementara kami mendapat kadar sewa secara bulanan.
“Selain itu, terdapat kedai runcit mini yang memudahkan penduduk sekitar membeli barangan keperluan asas seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak dan telur,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di masjid itu baru-baru ini.
————————————————————————————————-
USTAZ OTHMAN @ JUMAN SHAH MAT JOHARI
Umur: 59 tahun (3.1.1966)
Status: Berkahwin, seorang isteri dengan mempunyai tujuh zuriat
Tempat lahir: Kampung Sungai Lesong, Simpang Empat, Tapah, Perak
Pendidikan: Tingkatan Enam dan mendalami pengajian agama berkaitan ilmu talaqqi al-Quran, tasawuf, akhlak dan tauhid di sekolah pondok dan madrasah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, Indonesia, Thailand, India dan Pakistan
Pekerjaan: Ketua Imam Masjid Jamek Sungai Lesong bermula 2014
———————————————————————————————-
Tambah beliau, peranan masjid itu dalam membantu kariah setempat yang kurang bernasib baik diperkasakan dengan mewujudkan sebuah tabung khusus bagi membantu 12 golongan asnaf terutama anak-anak yatim.
Katanya, bantuan kewangan secara one-off bernilai RM500 seorang itu akan diberikan sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri selain menjelang sesi persekolahan bermula.
“Malah, terdapat seorang penderma secara konsisten menyumbang wang tunai RM100 selain barangan keperluan asas tanpa gagal setiap tahun semasa Ramadan kepada ibu tunggal, keluarga golongan B40, miskin dan orang kelainan upaya (OKU).
“Semua ini dilakukan supaya setiap yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya selain membuktikan masjid bukan sekadar tempat untuk menunaikan solat semata-mata,” katanya.
Ujarnya lagi, masjid itu bertuah kerana terdapat sebuah perpustakaan desa namun mempunyai fasiliti moden yang membolehkan ramai penduduk setempat dapat menggunakannya selain menambah ilmu pengetahuan.
“Bilangan pengunjung perpustakaan itu agak ramai terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan membolehkan pengunjung meminjam buku dan menyertai program yang dilaksanakan secara konsisten.
“Malah, pelajar sekolah rendah berdekatan dapat dididik untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah yang amalan itu diharap berterusan sehingga dewasa kelak,” katanya.
Mengulas mengenai peranan golongan muda, bekas pegawai syarikat perladangan terkemuka negara ini berkata, semangat dan kesungguhan mereka seharusnya dipuji.
“Imam muda dan ahli jawatankuasa masjid ini ada dalam kalangan orang muda dan mereka terlibat secara aktif dalam program masjid.
“Mereka turut membantu merangka program seperti kursus pengurusan jenazah, pengajian al-Quran, penyembelihan ayam dan kambing, ceramah umum dan khas melibatkan pendakwah agama terkenal.
Berhubung soal keselamatan masjid, beliau berkata, rumah ibadah itu dilengkapi dengan televisyen litar tertutup (CCTV) menyebabkan jarang berlakunya kes-kes kecurian.
“Rumah Allah, jangan kita sekat-sekat umat untuk datang memakmurkannya, malah kami tidak mengunci pintu-pintu pagar supaya memudahkan musafir atau mereka yang memerlukan untuk menunaikan ibadah.
“Selain itu, terdapat bahagian di dalam masjid ini yang tidak berkunci lengkap dengan lampu dan kipas untuk kemudahan semua pihak yang memerlukan.
“Saya yakin, kebanyakan ‘hati’ yang mengunjungi rumah ibadah ini baik-baik belaka,” katanya. – UTUSAN










