MIAMI: Bekas teman wanita Jeffrey Epstein, Ghislaine Maxwell, dipindahkan dari penjara di Florida ke kemudahan keselamatan rendah di Texas untuk meneruskan hukuman penjara 20 tahun yang sedang dijalaninya.
Menurut Biro Penjara Amerika Syarikat (BOP), pemindahan Maxwell dari FCI Tallahassee ke Kem Penjara Persekutuan di Bryan dilakukan seminggu selepas beliau bertemu Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche.
Sebelum ini, Blanche memaklumkan mahu berbincang dengan Maxwell berhubung individu lain yang mungkin turut terlibat dalam jenayah seksual Epstein.
Peguam Maxwell, David Markus, mengesahkan pemindahan itu, namun enggan mengulas lanjut.
Jurucakap Jabatan Kehakiman juga tidak segera memberikan maklum balas apabila diminta mengulas.
Biro Penjara AS mengklasifikasikan kem tahanan seperti Bryan sebagai institusi keselamatan minimum, iaitu tahap keselamatan paling rendah dalam sistem penjara persekutuan.
Kemudahan seperti ini biasanya mempunyai pagar perimeter yang terhad atau tiada langsung.
Kemudahan keselamatan rendah seperti FCI Tallahassee mempunyai perimeter berpagar dua lapis dan nisbah kakitangan kepada banduan yang lebih tinggi berbanding kem tahanan, menurut biro tersebut.
Ketika ditanya sebab pemindahan Maxwell, jurucakap BOP, Donald Murphy, menegaskan tidak boleh mengulas mengenai penempatan mana-mana tahanan secara lanjut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, langkah penempatan banduan ditentu berdasarkan beberapa faktor termasuk tahap keselamatan dan pengawasan yang diperlukan.- AGENSI










