‘BAHASA jiwa bangsa.’ Itulah cogan kata penuh hikmah yang dilaung-laungkan sejak 1950-an lagi bagi memupuk semangat memelihara dan memartabatkan bahasa kebangsaan. Namun, adakah cogan kata semata-mata sudah cukup untuk membakar pelita masa hadapan bahasa kebangsaan?
Sejarah membuktikan bahasa Melayu dipandang tinggi sejak dahulu dan terkenal kerana kehebatannya sebagai sebuah bahasa yang serba lengkap bagi berbagai-bagai kegunaan. Bahasanya yang indah dan halus menggambarkan nilai peradaban tinggi dalam kalangan penuturnya.
Ia bukan sekadar menjadi lingua franca di rantau Asia maritim tetapi lebih istimewa lagi ia juga menjadi bahasa ilmu yang sangat dihormati. Bahasanya dikuasai dengan baik oleh ramai penuturnya termasuk para ilmuwan dan pedagang yang datang ke dunia Melayu dari seluruh dunia.
Hari ini di sebalik usaha kempen yang dilakukan bagi memartabatkan kedudukan bahasa Melayu, kita berdepan kemerosotan nilai penguasaan bahasa yang betul dalam kalangan masyarakat.
Penggunaan bahasa rojak dan kata pinjaman melulu secara tidak terkawal semakin menghakis kemahiran berbahasa, khasnya dalam kalangan mereka yang tidak mengambil berat kepentingan memelihara ketinggian nilai bahasa kita.
Sebagai anak muda pencinta bahasa, saya mahu melihat keindahan dan kehebatan bahasa kita termasuk tulisan Jawi kembali menjadi pegangan seluruh anak bangsa.
Justeru, saya cuba memanfaatkan sepenuhnya peluang menghadiri majlis-majlis dan sesi perbincangan berkenaan bahasa Melayu, khasnya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Banyak ilmu berharga yang diperoleh dan adakalanya ia mencetus minat bagi mendalami perkara yang dibincangkan.
Minggu lalu, saya berpeluang menghadiri sebuah lagi seminar anjuran DBP iaitu Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025.
Seminar dua hari ini membincangkan kaedah memperkasakan bahasa Melayu melalui bahan bacaan termasuk penggunaan ruang media cetak seperti majalah serta cabarannya dalam dunia hari ini.
Saya amat kagum mendengar pembentangan Tokoh Guru Kebangsaan 2016 yang juga pengasas program Majalah Dalam Kelas, Azizul Rahman tentang kisahnya mendidik anak bangsa mendalami kemahiran bahasa dengan pelbagai kaedah inovatif sejak beliau mula mengajar.
Saya juga tertarik mendengar pembentangan oleh Dr. Mohd Ghazali Taib tentang falsafah dan kaedah didikan Jepun yang menggambarkan suasana serta kaedah ibu mendidik keluarga ketika kami kecil.
Antara cabaran terbesar ketika DBP hendak memperkasakan bahasa ialah bidang kuasa. Bidang kuasa DBP tidak melibatkan penguatkuasaan terus dalam penggunaan bahasa.
Ramai yang menyalahkan DBP apabila timbul masalah berkaitan penggunaan bahasa yang salah. Namun DBP tidak dapat melakukan apa-apa, bahkan jika bahasa Melayu langsung tidak digunakan sekali pun. Oleh kerana itulah pihak kerajaan persekutuan yang memberi arahan dan peraturan tentang kewajipan mengguna bahasa Melayu dalam urusan rasmi.
DBP masih berperanan mengangkat masa hadapan bahasa dengan menyediakan rancangan teliti dan memberi nasihat kepada pihak kerajaan untuk menggerakkan perubahan.
DBP juga berperanan sebagai wadah perbincangan untuk hal ini. Namun, walaupun begitu, janganlah sekadar kekal di peringkat perbincangan semata-mata. Perbincangan mestilah mempunyai hasil tindakan yang boleh menjayakan azam.

BAHASA ASING MASIH DIUTAMAKAN
Saranan daripada bekas Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Ismail Dahaman tentang mencari jalan tuntas bagi menangani kegagalan pihak-pihak yang sepatutnya mengangkat bahasa Melayu harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
Beliau menegur sikap kita yang setelah sekian lama bercakap tentang memperkasakan bahasa kebangsaan, namun di pusat beli belah bahasa asing yang banyak digunakan. Saya faham kekesalan yang beliau luahkan dan turut mengharapkan tindakan kerajaan bagi memberikan peranan yang lebih besar kepada DBP.
Berazam sekadar niat tiada hasilnya. Berjuang sekadar suara apa gunanya. Jika pemerkasaan bahasa tidak diiringi ruang untuk tindakan menyeluruh, maka kita akan sentiasa terkurung dalam kitaran menyalak kepada bukit.
Ketika program sebegini, antara yang sangat saya nantikan ialah resolusi seminar dan cadangan tindakan lanjut serta idea-idea baharu yang lebih proaktif bagi memacu usaha bergerak ke hadapan dengan lebih gagah.
Namun, saya merasakan seolah-olah keresahan yang disuarakan oleh bekas Pengarah Jabatan Bahasa DBP tadi tergambar dalam 15 resolusi yang dikemukakan pada akhir program ini.
Setelah menghadiri kedua-dua hari persidangan tersebut, saya mendapati resolusinya kurang menyentuh tentang tindakan khusus, dan lebih banyak menyebut nilai-nilai umum yang telah lama dibincangkan.
Sudah lama tahu yang kita perlukan lebih banyak bahan cetakan bahasa Melayu bermutu tinggi, namun persoalannya bagaimana hendak capai matlamat tersebut?
Sekadar membincangkan soal pentingnya menjaga bahasa tidak cukup untuk menjulangkannya. Sekadar melaung cogan kata ‘bahasa jiwa bangsa’ tidak cukup untuk menjiwainya.
Kita perlukan tindakan lanjut yang bukan sahaja realistik tetapi lebih penting lagi yang teratur dan terancang, tidak sekadar tersangkut di ruangan omong kosong semata-mata.
Dengan tindakan barulah kita dapat mencapai matlamat demi pemeliharaan bahasa, bukan dengan kelantangan suara semata-mata.
Dua rangkap pantun yang disampaikan Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari ketika beliau menutup ucapan penangguhannya, amat menjentik hati saya.
“Apa guna pasang pelita,
Kalau tidak dengan sumbunya.
Apa guna kita berbahasa,
Kalau tidak dengan sungguhnya.
“Air yang dalam semakin dalam,
Hujan di hulu belumlah teduh.
Hati yang dendam semakin dendam,
Dendam dahulu belumlah sembuh.”
Mungkin inilah juga yang ingin disampaikan berkenaan kenyataan dunia perjuangan bahasa. Kadangkala kita meluangkan begitu banyak tenaga untuk melakukan begitu banyak usaha. Namun akhirnya matlamat kita tetap tidak tercapai kerana tiada sebarang tindakan susulan.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










