REMAJA merupakan antara pengguna paling aktif media sosial di Malaysia. Namun, dalam kebebasan terbuka di alam digital, timbul fenomena yang semakin membimbangkan iaitu ketakutan untuk bersuara secara terbuka.
Pemerhatian menunjukkan ramai remaja kini lebih selesa menjadi pemerhati pasif berbanding menyuarakan pandangan, khususnya dalam isu berkaitan politik, agama, perkauman dan institusi negara.
Ketakutan terhadap kecaman, pembatalan sosial (cancel culture) serta tindakan undang-undang menjadi antara faktor utama menyumbang kepada budaya diam ini.
Budaya pembatalan di media sosial mendorong pengguna menahan diri daripada menyuarakan pandangan peribadi, walaupun dengan niat baik. Individu yang berkongsi pendapat berisiko menerima serangan peribadi, buli siber dan penyebaran maklumat secara salah.
Akibatnya, remaja lebih rela berdiam diri bagi mengelak tekanan emosi dan sosial yang tidak diingini.
Ketakutan ini turut dipengaruhi oleh kekangan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Walaupun digubal bagi menjaga keharmonian negara, namun remaja melihat potensi hukuman seperti denda dan penjara sebagai ancaman terhadap kebebasan bersuara terutama apabila tafsiran terhadap sesuatu kenyataan boleh dimanipulasi atau disalah erti.
Selain itu, kebimbangan terhadap jejak digital turut memainkan peranan. Dalam era di mana segala interaksi maya kekal tersimpan, remaja sedar kenyataan yang dimuat naik hari ini boleh memberi kesan kepada reputasi dan peluang masa hadapan.
Majikan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan masyarakat sekeliling semakin meneliti rekod dalam talian sebagai penanda nilai peribadi dan profesional seseorang.
Rasa kurang yakin, takut ditolak rakan sebaya dan kebimbangan tidak mendapat sokongan menjadikan ramai remaja tidak berani berkongsi pandangan, apatah lagi jika ia tidak sehaluan dengan majoriti.
Fenomena ini memberi implikasi besar terhadap pembentukan pemikiran kritikal dalam kalangan belia.
Jika suara anak muda terpadam dalam persekitaran digital yang sepatutnya inklusif, maka proses demokrasi, keaktifan sivik dan pembinaan jati diri generasi masa hadapan juga akan terjejas.
Maka, menjadi tanggungjawab bersama institusi pendidikan, keluarga, pihak berkuasa dan platform media sosial untuk mewujudkan ruang selamat yang menyokong kebebasan bersuara secara bertanggungjawab.
Pendidikan tentang etika digital, kesedaran undang-undang dan kemahiran menyuarakan pendapat secara berhemah perlu diperkukuh.
Remaja perlu diyakinkan yang suara mereka penting. Dengan bimbingan yang betul, mereka mampu menjadi agen perubahan yang matang, bijak dan berpengaruh dalam masyarakat digital Malaysia.-UTUSAN
NURSYAZWAN AFIF NORZALI & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










