Tidak sentuh isu asas, jurang ekonomi antara negeri

Tidak sentuh isu asas, jurang ekonomi antara negeri

BEBERAPA pelanggan di sebuah kedai makan menonton siaran langsung pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan Ran­cangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang disifatkan tidak menyentuh isu-isu asas seperti agihan fiskal kepada negeri, pemilikan ekonomi rakyat dan jurang pembangunan wilayah yang semakin melebar.

Ketua Portfolio Ekonomi PN, Syahir Sulaiman berkata, walaupun RMK13 membawa pelbagai aspirasi dan kerangka dasar yang luas, pelan itu dilihat kurang tuntas dari segi pelaksanaan sebenar di peringkat akar umbi.

Katanya, dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu serta tekanan kos sara hidup yang semakin membe­bankan rakyat, RMK13 seha­rusnya menjadi pelan pembangunan nasional yang benar menyentuh struktur ekonomi negara dan membuka ruang kepada reformasi menyeluruh.

“Berbeza dengan RMK12 yang menetapkan 50 peratus perbelanjaan pembangunan untuk enam negeri kurang membangun, RMK13 tidak menjelaskan sebarang formula atau sasaran agihan fiskal kepada negeri seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengga­nu, Kedah dan Perlis,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Lebih membimbangkan, be­liau berkata, isu hubungan fis­kal antara kerajaan Persekutuan dan negeri tidak disentuh langsung dalam RMK13 kali ini, termasuk soal perkongsian hasil cukai serta sumber se­perti petroleum.

“Pembangunan yang adil tidak akan tercapai sekiranya suara negeri terus diketepikan daripada proses perancangan dan pelaksanaan di peringkat nasional.

“Ini adalah antara punca utama jurang pembangunan wilayah yang semakin me­lebar. Kita tidak boleh bercakap soal kemajuan menyeluruh jika negeri-negeri yang memerlukan terus terpinggir,” katanya.

Menurut beliau, RMK13 yang dibentangkan turut me­ngakui wujudnya cabaran se­perti ketidaksamaan pendapatan, gaji buruh yang rendah dan kebergantungan kepada pelaburan langsung asing (FDI).

Bagaimanapun, katanya, pelan itu tidak membawa reformasi yang berani dan tiada penekanan terhadap isu pemilikan ekonomi rakyat, khususnya dalam kalangan bumiputera, masyarakat luar bandar dan pekerja sektor informal.

“Ini berbeza dengan Wawasan Kemakmuran Bersa­ma 2030 (WKB2030) yang ber­te­raskan prinsip ‘tiada sia­pa tertinggal’, yang secara langsung memperjuangkan pe­mer­kasaan ekonomi bumipu­tera dan pengagihan keka­yaan le­bih adil.

“Ketiadaan naratif peningkatan pemilikan rakyat menjadikan RMK13 seolah-olah sebuah pelan pertumbuhan yang eksklusif kepada pemodal, tetapi kurang inklusif kepada rakyat terbanyak, sekali gus melebarkan jurang perbezaan dalam negara.

“Beberapa persoalan asas masih belum terjawab secara tuntas, termasuk kebergantungan ekonomi negara terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan pertumbuhan yang berasaskan hutang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×