RMK13 pacu Aspirasi AI - Fahmi

RMK13 pacu Aspirasi AI – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan hala tuju negara untuk membangunkan ekonomi berteraskan kecerdasan buatan (AI), memperkukuh infrastruktur digital dan memastikan capaian internet yang lebih baik untuk semua, khususnya kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, transformasi digital dan teknologi baharu akan menjadi salah satu tumpuan utama, khususnya untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara berteraskan AI terkemuka di dunia.

“Kita berharap dalam tempoh lima tahun yang akan datang menjadikan Malaysia sebagai antara negara berteraskan AI utama di dunia,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat yang menggariskan keutamaan pembangunan Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Tambah Fahmi, kerajaan juga berhasrat untuk memperkukuh ekonomi kreatif melalui sokongan dasar yang lebih mantap dan penglibatan agensi awam.

“Kita berharap beberapa usaha dan ikhtiar akan dapat meningkatkan daya saing melalui penghasilan karya yang mempunyai nilai komersial yang tinggi untuk dinikmati dalam dan luar negara termasuk sebagai harta intelek (IP) untuk dieksport serta membangunkan bakat kreatif dan memantapkan rantaian nilai industri kreatif,” katanya.

Fahmi turut berkata, kerajaan memfokuskan pelan ini kepada tiga keutamaan iaitu meningkatkan pendapatan negara, meningkatkan pendapatan isi rumah dan memperkukuh tadbir urus.

“Secara ringkasnya, ada tiga teras utama. Yang pertama, menaikkan siling iaitu pendapatan negara, menaikkan lantai iaitu meningkatkan pendapatan rakyat dan memperkukuh tatakelola baik atau saya ringkaskan sebagai memperkukuh tiang seri,” katanya.

Beliau turut berkata, lebih 40 dasar dan lebih 85 undang-undang yang diperkenalkan sejak 2022 telah digabungkan dalam pelan ini yang memberi tumpuan kepada cabaran megatrend dan isu domestik.

“Kita naikkan siling, kita nak naikkan juga lantai, tapi tiang serinya iaitu tatakelola, cara kita mengurus tadbir negara serta reformasi yang kita bawa itulah yang akan memungkinkan kenaikan-kenaikan yang kita harapkan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×