PETALING JAYA: Pemerkasaan sektor keselamatan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan peruntukan sebanyak RM51 bilion merupakan satu isyarat jelas bahawa kerajaan mengiktiraf keselamatan sebagai tiang seri kestabilan dan kemajuan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam dunia yang kian mencabar dengan ancaman rentas sempadan, penyeludupan, jenayah siber, pemerdagangan manusia dan risiko ekstremisme, keperluan untuk memperkukuhkan keupayaan operasi, logistik dan teknologi kepada agnesi keselamatan amat penting.
Maka, katanya, inisiatif untuk memodenkan sistem imigresen negara melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dan memperkasa penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) adalah tepat pada waktunya.
“Pendekatan ini akan membolehkan pasukan keselamatan negara berfungsi dengan lebih efisien, responsif dan strategik dalam menangani cabaran semasa, serta meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di sempadan darat dan maritim, khususnya dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan isu-isu keselamatan serantau seperti di Laut China Selatan.
“Lebih penting, saya ingin menzahirkan penghargaan atas penekanan serius kerajaan terhadap kebajikan warga kerja keselamatan, khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi lain yang berkhidmat di barisan hadapan.
“Penyediaan 1,368 unit kuarters baharu PDRM dan 3,088 unit kuarters ATM yang telah siap, ditambah 8,501 unit lagi yang sedang dibina, serta 69,141 unit kuarters sedia ada yang telah dibaik pulih, merupakan langkah yang sangat bermakna dalam menjaga kesejahteraan mereka dan ahli keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, negara tidak boleh mengharapkan pasukan keselamatan untuk berkhidmat dengan cekap dan berdedikasi, sekiranya keperluan asas mereka seperti tempat tinggal yang selesa, persekitaran kondusif, serta jaminan sosial diabaikan.
Justeru, katanya, usaha berterusan dalam RMK13 untuk meningkatkan infrastruktur, kemudahan dan sokongan kepada warga keselamatan adalah amat dialu-alukan dan wajar diberi pujian.
“Saya percaya bahawa dalam dunia hari ini, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui senjata dan bilangan anggota keselamatan semata-mata, tetapi melalui keupayaan kita menyediakan ekosistem sokongan yang menyeluruh dari latihan, logistik, teknologi hingga ke aspek kebajikan.
“Kementerian Dalam Negeri akan terus mendukung sepenuhnya pelaksanaan RMK13 dan mengambil tanggungjawab untuk memastikan inisiatif-inisiatif di bawah sektor keselamatan dalam negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kami komited untuk terus memperkukuh keselamatan dalam negeri, memelihara kedaulatan undang-undang, dan menjamin keamanan hidup rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya. – UTUSAN











