Pesakit Covid-19 debar tunggu nasib - Utusan Malaysia

Pesakit Covid-19 debar tunggu nasib

TMABAHAN RM 1 bilion untuk sektor kesihatan sangat tepat pada masanya. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Sedih, sunyi dan bim­bang berkocak dalam benak fi­kiran pesakit Covid-19 terutama apabila menge­nang nasib diri sama ada akan dapat bertemu semula keluarga tercinta atau menunggu pengakhiran yang sangat memilukan.

Bermacam-macam reaksi wa­­­jah pesakit yang menjalani kua­rantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) di sini yang kebanyakan mereka sugul, termenung dengan pera­saan bercampur baur.

Kebanyakan penghuninya bu­kan keseorangan, malah ada yang datang dalam satu keluarga tetapi dipisahkan dalam wad berbeza mengikut ka­tegori se­perti warga emas yang mende­rita penyakit kritikal dan kanak-kanak semuda usia dua tahun.

Wartawan Mingguan Malaysia yang diberi akses khas meninjau MAEPS mendapati kea­daan di situ sesak, malah untuk mengambil makanan pun pesakit terpaksa beratur panjang.

Sehingga kelmarin, seba­nyak 3,695 orang dikuarantin di MAEPS selepas penambahan sebanyak 939 pesakit baharu pada Jumaat lalu.

Wartawan Utusan Malaysia turut berpeluang masuk ke wad kuarantin, menegur sapa pesakit di situ dan mende­ngar pelbagai cerita dan luahan mereka sepanjang dikuarantin di pusat rawatan itu.

Banyak cerita yang me­nyen­tuh hati apabila ada pesakit kehilangan ahli keluarga sekelip mata akibat Covid-19.
Lebih malang, mereka tidak berpeluang langsung melawat ketika masih hidup.

Seorang pesakit lelaki, berusia 63 tahun dikuarantin bersama dua lagi adik perempuannya di situ, meluahkan rasa terkilan kerana tiada seorang pun adik-beradiknya bersama sewaktu bapa mereka bertarung nyawa melawan Co­vid-19 serta berpeluang me­nguruskan jenazah selepas me­ninggal dunia.

“Arwah ayah, saya seke­luarga dan dua adik-beradik lain dijangkiti. Saya dan dua adik perempuan ditempatkan di MAEPS dalam wad berbeza, sementara ayah kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Hari terakhir sebelum ayah meninggal dunia, doktor di sana buat panggilan video bersama kami tiga beradik untuk melihat keadaan ayah. Sangat memilukan, saya minta maaf sangat ayah, saya tak dapat melawat ketika sakit, apatah lagi menguruskan jenazah ayah,” luahnya sambil mengesat air mata.

Seorang lagi pesakit berusia 68 tahun, me­luahkan kesunyian­nya kerana bukan sahaja bersendirian di pusat kuarantin, malah beberapa hari sebelum ditahan di situ, dia kehilangan isteri ter­sayang.

Malah, dia sendiri mengaku sanggup memperjudikan kesihatannya sendiri untuk menjaga isterinya yang dimasukkan ke sebuah hospital di Klang, Selangor.

“Dari situlah rasanya pak cik dijangkiti virus Covid-19. Pak ­cik berulang-alik dari rumah ke hospital setiap hari. Walaupun tidak dapat menemani isteri di unit rawatan rapi (ICU), tetapi pak cik tunggu dalam kereta dan sentiasa bersedia kalau isteri panggil.

“Namun, pada Hari Raya Aidilfitri kedua, isteri pak cik akhir­nya meninggal dunia. Ke­mudian, pak cik disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan. Ujian di­buat kerana badan berasa tidak selesa dan hilang deria bau,” katanya.

Pelbagai lagi kisah yang di­pendam pesakit-pesakit di sa­na, ada yang sekeluarga dikuarantin. Malah, ada ibu atau bapa yang tidak dijangkiti tetapi terpaksa menemani anak yang masih kecil kerana disahkan positif Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×