PETALING JAYA: Kedudukan ranking dunia tidak menjadi keutamaan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski ketika ini, sebaliknya lebih fokus kepada usaha meningkatkan prestasi pasukan secara menyeluruh.
Jurulatih kelahiran Australia itu percaya, kemenangan secara konsisten dan persembahan baik secara tidak langsung akan melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Jika kita terus menang dan menang, ranking akan terus meningkat, mudah sahaja. Saya tidak terlalu fokus terhadap ranking. Sebaliknya, saya lebih memikirkan cara untuk memperbaiki pasukan dan mencipta sesuatu yang istimewa.
“Jika kita berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa dalam perlawanan akan datang, ranking akan turut meningkat dan semua orang pasti gembira dengan perkembangan ini,” kata Cklamovski.
Harimau Malaya dijadualkan berdepan Singapura pada 4 September dan Palestin pada 8 September depan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi aksi persahabatan dalam kalender FIFA.
Pemilihan dua pasukan itu dibuat selepas Harimau Malaya terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadual berlangsung bulan depan.
Ditanya mengenai perlawanan menentang Singapura dan Palestin, Cklamovski berkata, dia mahu anak-anak buahnya tampil dengan aksi meyakinkan dan menghiburkan dalam dua perlawanan tersebut.
“Ia satu cabaran untuk berdepan lawan yang bagus, namun kami mahu menunjukkan identiti permainan kami dan menampilkan pasukan yang membanggakan, menghiburkan serta mampu membuat rakyat Malaysia teruja melihat mereka beraksi,” katanya.
Skuad kebangsaan akan mengadakan kem latihan penuh di Kuala Lumpur pada bulan September depan bagi memperkukuhkan persiapan menjelang Pusingan Kelayakan Piala Asia yang semakin hampir.
Malaysia dijadualkan meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan dua perlawanan penting menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober, diikuti aksi bertemu Nepal pada 18 November, sebelum menutup tirai peringkat kumpulan berdepan Vietnam pada 31 Mac 2026. – UTUSAN










