RMK13: Tingkat pendapatan rakyat

RMK13: Tingkat pendapatan rakyat

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangunan sektor hiliran menjadi tumpuan utama kerajaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara sekali gus meningkatkan sumber pendapatan rakyat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tumpuan itu merupakan antara teras utama dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang berlandaskan prinsip ekonomi Madani dan akan dibentangkan hari ini.

Apa yang jelas katanya, asas kepada RMK13 ialah kerangka ekonomi Madani yang diambil sebagai prinsip untuk me­ningkatkan ekonomi negara dan sumber pendapatan rakyat

“Kita akan fokus kepada beberapa sektor dan industri yang memberi nilai tambah serta penciptaan nilai dan fokusnya kepada sektor hiliran. Itu secara umum sahaja, butiran yang le­bih terperinci akan dibentangkan hari ini.

“Setiap kementerian akan me­ngetahui perincian penuh selepas dokumen tersebut dibentangkan dan segala maklumat berkaitan termasuk bajet serta kepentingan kesa­linghubungan juga dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Persidangan Ketersambungan Antarabangsa 2025 (ICC2025), di sini semalam.

RMK13 yang akan dibentang­kan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merangka dasar pembangunan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang, dari 2026 hingga 2030.

Ia merupakan pelan terakhir dalam kerangka untuk melonjak Malaysia sebagai status negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan.

Pada 13 Jun lalu, Anwar dilaporkan berkata, RMK13 akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, cabaran itu termasuklah kesenjangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.

Sementara itu, pakar-pakar ekonomi menjangkakan pada RMK13 kali ini akan memberi tumpuan kepada lima isu utama termasuk menaik taraf kehidupan rakyat merangkumi pendidikan, kesihatan, pekerjaan, perumahan dan keterjaminan makanan.

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, selain itu, kerajaan dijangka akan terus menekankan dua bahagian dalam kerangka Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling dan lantai ekonomi negara.

Bagi menaikkan siling, beliau berkata, kerajaan akan memberi fokus untuk menjadikan Malaysia menerajui ekonomi Asia iaitu mempertingkat dan mempercepatkan ekonomi negara dan melibatkan diri dalam ekonomi baharu.

“Kita perlu melangkah ke era baharu melalui RMK13. Kerajaan dijangka memberi keutamaan pada tiga sumber ekonomi baharu iaitu ekonomi biru atau penjanaan ekonomi menerusi lautan seperti dilakukan Sarawak yang sedang membangunkan alga.

“Kedua adalah ekonomi hijau dan terakhir yang perlu diberi fokus adalah ekonomi kelabu atau penuaan kerana di situ banyak peluang untuk negara kita berkembang terutama apabila Malaysia dijangka menjadi negara ‘tua’ menjelang 2030,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi menaikkan lantai pula, Madeline berkata, beliau mengharapkan kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan kehidupan wajar iaitu rakyat menerima jumlah pendapatan yang ‘bermaruah’ dan tidak lagi hanya memperoleh RM1,700 setiap bulan.

Katanya, kerajaan menerusi RMK13 perlu memberi fokus kepada usaha meningkatkan peluang pendapatan rakyat bagi memastikan seluruh masyarakat Malaysia menikmat kehidupan lebih baik.

“Selain itu, kerajaan juga perlu meneruskan usaha menghapuskan kemiskinan tegar, di samping memberi keutamaan terhadap kemiskinan relatif,” jelasnya.

Menurut Madeline lagi, kerajaan bakal berhadapan dengan cabaran yang besar dalam usaha merealisasikan RMK13 sepenuhnya.

“Antaranya adalah apa yang berlaku di serantau seperti perang tarif antara Amerika Syarikat dan China yang akan memberi kesan kepada Malaysia juga dan selain itu, kemungkinan untuk munculnya blok-blok ekonomi baharu.

“Kemunculan blok-blok ekonomi baharu itu akan mewujudkan persaingan kepada Malaysia, mereka boleh muncul di mana-mana sahaja termasuk di Asia Tenggara,” katanya.

Pakar Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, RMK13 perlu memastikan lebih ramai rakyat mendapat peluang untuk mempertingkatkan kemahiran.

Selain itu, katanya, memastikan perlindungan sosial dan kesihatan menjadi antara keutamaan dan pada masa sama, memfokuskan masalah nutrisi kanak-kanak terutama di luar bandar bagi memastikan pertumbuhan generasi masa hadapan yang lebih baik.

“RMK13 juga perlu memastikan tidak berlaku lagi isu seperti individu yang mempunyai kemahiran dan kelayakan terpaksa bekerja untuk kerja yang tidak setimpal serta terpaksa menerima gaji yang rendah.

“Malah, pelan tersebut memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai kemampuan untuk memiliki rumah sendiri yang selesa tanpa dibebani hutang yang tinggi. Perkara ini boleh dilakukan menerusi penerokaan terhadap alternatif pembayaran,” jelasnya.

Beliau berkata, sektor agro makanan Malaysia perlu dikembangkan di peringkat domestik dan memadamkan tanggapan bahawa sektor tersebut tidak membawa keuntungan yang lumayan.

“Ini kerana kita masih menggunakan teknologi lama dalam sektor agro makanan sedangkan negara-negara maju sudah menggunakan teknologi baharu yang membantu mereka mendapatkan hasil dengan cepat dan tinggi sekali gus membawa keuntungan kepada mereka

“Sektor agro makanan perlu dijadikan sebagai antara sektor yang paling diminati oleh golongan belia untuk memastikan keterjaminan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan kita terhadap barangan import,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu memastikan RMK13 lebih fleksibel dan cukup anjal untuk berhadapan dengan ketidaktentuan global.

“Kita harus meneroka sektor-sektor baharu seperti nadir bumi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) hybrid tetapi untuk kali ini, kita tidak boleh guna model lama, macam sebelum ini semasa kita melombong timah dan petroleum, kita hanya mengeksport secara mentah tanpa memprosesnya terlebih dahulu.

“Strategi kali ini, kalau kita ekstrak nadir bumi, kita kena proses ia terlebih dahulu supaya kita mempunyai nilai tambah. Bagi AI hibrid pula, mesti berlakunya pemindahan ilmu supaya Malaysia boleh menjadi negara pencipta, bukan hanya menjadi negara pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×