PETALING JAYA: Islam tidak mengajar untuk mendoakan kehancuran sesama umatnya serta menghina orang lain apatah lagi menyamakan dengan binatang.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan ahli politik perlu berlandaskan fakta dan bukan dengan emosi yang tidak matang.
“Ada yang membaca doa qunut nazilah untuk kehancuran beliau (Perdana Menteri) walaupun sesama agama.
“Ada yang menyamakan beliau dengan monyet dan pemimpin negara asing lain seperti binatang sedangkan perbincangan itu adalah untuk menyelamatkan ribuan nyawa rakyat akibat peperangan antara dua negara.
“Kalau kita tidak mampu buat kebaikan, jangan halang orang lain untuk buat kebaikan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memuat naik gambar tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang serta monyet sebagai hakim.
Beliau menulis kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang, sambil meletakkan artikel mengenai pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar tersebut.
Hantaran itu dimuat naik selepas Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk berdamai dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, rakyat mahu melihat politik matang yang membina, bukan dengan politik sempit yang merendahkan akal fikiran.
Tegasnya, jika ahli politik masih lagi dengan gaya politik yang sempit, ia hanya mengundang kemarahan dan kebencian rakyat.
“Jika ada yang beritahu, dulu geng sebelah sini buat perkara sama, maka jawapan saya, jika orang sebelum ni makan najis, adakah kita juga mahu buat perkara sama?
“Sudah tentu tidak bukan, sebab kita tahu itu perkara yang kotor,” katanya.-UTUSAN










