Tekanan hakim kanan, Abdul Rasan tidak khuatir

Tekanan hakim kanan, Abdul Rahman tidak khuatir

BEKAS Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli tidak khuatir dengan kesan dan akibat yang bakal mendatang ekoran pendedahan yang dibuatnya berhubung tekanan yang pernah diterima daripada seorang hakim kanan.

Tambahnya, beliau berpegang kepada apa yang diucapkan pada majlis tersebut dan merasakan ia adalah waktu yang sesuai untuk berbuat demikian.

“Saya rasa ini masa yang sesuai. Saya tidak khuatir (mengenai kesan dan akibat), saya cakap yang betul,” katanya ketika ditemui selepas tamat Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendedahan tersebut dibuat dalam ucapannya pada Majlis Perpisahan Hakim Besar Sabah Sarawak bersama Hakim, Pesuruhjaya Kehakiman, Pegawai dan Kakitangan Mahkamah Sarawak pada 23 Julai lalu.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata tekanan rakan sejawat boleh menjadi satu kuasa yang sangat berpengaruh dalam badan kehakiman dan berpotensi mempengaruhi keputusan kehakiman serta keseluruhan pentadbiran keadilan.

“Bebas daripada campur tangan eksekutif tidak akan bermakna sekiranya hakim-hakim tidak bebas daripada campur tangan daripada rakan sejawat dalam menjalankan fungsi kehakiman.
Lebih tinggi kedudukan rakan sejawat dalam hierarki, lebih besar tekanan yang dikenakan ke atas seseorang hakim (junior) untuk bertindak mengikut kehendak dan jangkaan rakan tersebut, menjadikan tekanan rakan sejawat satu bentuk campur tangan yang amat kuat,”katanya dalam ucapan tersebut.

Abdul Rahman juga mendedahkan tekanan tersebut diterima sewaktu menganggotai panel tujuh hakim dalam satu kes membabitkan Perlembagaan Persekutuan sekitar 2012.

“Ia berlaku kepada saya dalam satu kes berkepentingan awam pada tahun 2021, apabila saya ditekan supaya membuat keputusan memihak kepada seorang pihak yang telah menyaman Kerajaan Persekutuan dalam isu Perlembagaan yang kontroversi.

“Memandangkan kepentingan isu yang dibangkitkan oleh pihak tersebut, tujuh orang hakim telah dilantik untuk mendengar kes itu. Pendek kata, saya diminta untuk mengikut arus,”ujarnya yang pada ketika itu merupakan hakim paling muda dalam perkhidmatan.

“Saya telah terlebih dahulu menyediakan draf penghakiman bagi kes tersebut yang kemudiannya saya edarkan kepada enam lagi ahli panel untuk semakan mereka seperti amalan biasa di Mahkamah Persekutuan.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima satu e-mel daripada seorang anggota kanan dalam badan kehakiman yang menyatakan betapa salahnya pandangan saya. Bahasa yang digunakan bersifat merendah-rendahkan malah menggunakan perkataan ‘hipokrit’ untuk menggambarkan draf penghakiman saya.

“Salah seorang daripada dua ahli panel kanan, yang jelas kelihatan terganggu dengan pendirian tegas saya, telah ‘meminta’ ahli panel yang lebih senior supaya ‘mengayunkan rotan’ terhadap kami yang menentang pendirian mereka dalam isu tersebut,”katanya.

Abdul Rahman dalam ucapannya pada majlis perpisahan itu turut menyatakan, disebabkan keengganannya untuk mengikut arus, beliau dan dua lagi hakim yang menyokong draf penghakiman tersebut hampir dikenakan surat tunjuk sebab.

“Saya mengesyaki niatnya adalah untuk menubuhkan satu tribunal bagi mengambil tindakan tatatertib terhadap kami bertiga namun saya percaya campur tangan Ilahi telah menghalang perkara itu daripada berlaku.

“Jika tidak, saya mungkin menerima nasib yang sama seperti bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer,”ujar Abdul Rahman.

Pada 4 Februari 2021, Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) menggantung perkhidmatan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer selama enam bulan sebelum bersara wajib berhubung aduan melibatkan isu penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya.

Hamid Sultan sebelum itu membuat akuan afidavit mengandungi dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam kes-kes tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN