KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM25,000 bagi meluluskan pelan bangunan.
Perintah reman selama enam hari sehingga 2 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret Yuhanis Mohd. Roslan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi ini.
Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan sekitar pukul 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai menerima wang sogokan secara berperingkat daripada sebuah syarikat bagi memudahkan kelulusan 14 projek pelan bangunan antara 2015 hingga 2019. Jumlah keseluruhan rasuah dianggarkan mencecah RM25,000 yang disalurkan ke akaun peribadi mereka,” katanya.
Difahamkan, tangkapan terbaharu ini merupakan lanjutan kepada penahanan seorang pengarah agensi kerajaan negeri pada Januari lalu yang turut disiasat atas dakwaan menerima rasuah kira-kira RM900,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










