ASHDOD: Sebuah flotila bantuan yang cuba memecah sekatan tentera Israel terhadap Semenanjung Gaza dirampas oleh Tentera Laut Israel dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod pada Ahad, menurut laporan media dan kumpulan hak asasi.
Kapal Handala yang membawa aktivis dari gabungan Freedom Flotilla Coalition, ditahan di perairan antarabangsa lewat Sabtu ketika dalam misi untuk menghantar sejumlah kecil bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.
Kumpulan hak asasi undang-undang Israel, Adalah memaklumkan kepada AFP, peguam mereka telah berada di Ashdod dan menuntut untuk bertemu dengan 21 anak kapal antarabangsa, termasuk dua ahli Parlimen Perancis dan dua wartawan Al Jazeera.
“Selepas 12 jam di laut, susulan tindakan penahanan tidak sah terhadap Handala, pihak berkuasa Israel mengesahkan ketibaan kapal itu di pelabuhan Ashdod,” kata Adalah, yang memperjuangkan hak penduduk Arab di Israel.
Menurut kenyataan Adalah, para aktivis di atas Handala adalah sebahagian daripada misi awam secara aman untuk mencabar sekatan laut Israel yang dianggap tidak sah oleh undang-undang antarabangsa.
“Kapal flotila tidak pernah memasuki perairan wilayah Israel, dan ia juga tidak berniat untuk berbuat demikian. Ia sedang menuju ke perairan wilayah Palestin seperti yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.
“Israel tidak mempunyai bidang kuasa undang-undang ke atas perairan antarabangsa di mana kapal itu sedang belayar,” tegas kenyataan itu.
Selepas beberapa jam mendesak, Adalah memaklumkan pada petang Ahad bahawa pihak berkuasa Israel akhirnya membenarkan pertemuan antara peguam mereka dan aktivis yang ditahan.
“Selepas desakan berterusan, peguam Adalah kini sedang bertemu dengan 19 daripada sukarelawan yang ditahan di Pelabuhan Ashdod bagi memberikan khidmat guaman,” kata Adalah.
“Dua lagi aktivis, Bob Suberi dan Huwaida Arraf yang merupakan warganegara Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah dipindahkan kepada pihak polis, di mana seorang peguam Adalah turut hadir memberikan sokongan undang-undang,” katanya. -AGENSI










