Ketua Kuil Shaolin disiasat dakwaan seleweng dana, jalin hubungan sulit dengan wanita - Utusan Malaysia

Ketua Kuil Shaolin disiasat dakwaan seleweng dana, jalin hubungan sulit dengan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZHENGZHOU: Ketua Kuil Shaolin, Shi Yongxin, kini disiasat bagi pelbagai dakwaan jenayah termasuk penyelewengan dana projek dan aset kuil, menurut kenyataan rasmi pihak pengurusan kuil itu pada Ahad.

Yongxin, 60, yang memimpin institusi Buddha berusia lebih 1,500 tahun itu sejak 1999, turut berdepan tuduhan melanggar prinsip ajaran Buddha secara serius, termasuk menjalin hubungan sulit dengan beberapa wanita dan mempunyai anak luar nikah.

“Kuil akan mendedahkan maklumat lanjut kepada umum secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.

Kuil Shaolin yang terletak di wilayah Henan, tengah China, bukan sahaja dianggap sebagai tempat kelahiran ajaran Zen (Chan) Buddha, malah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan merupakan asal-usul seni mempertahankan diri Shaolin kungfu.

Yongxin, yang memiliki ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan (MBA), sering digelar sebagai “Sami CEO” kerana usahanya yang lantang memodenkan dan mengkomersialkan imej Shaolin melalui pelbagai industri termasuk filem, perubatan, pelancongan dan penerbitan.

Pada 2006, beliau pernah menerima kecaman selepas menerima sebuah kereta mewah daripada kerajaan tempatan sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam memacu industri pelancongan di wilayah itu.

Yongxin kembali menjadi perhatian pada 2015 apabila dikaitkan dengan projek mega bernilai AS$297 juta di Australia, yang merangkumi kompleks hotel, akademi kungfu, kuil dan padang golf.

Tahun yang sama, seorang bekas anak murid mendakwa Yongxin menyalahgunakan dana kuil dan mempunyai beberapa anak luar nikah. Namun, siasatan oleh pihak berkuasa agama di Henan digugurkan dua tahun kemudian atas alasan kekurangan bukti.

Menurut laporan akhbar Economic Observer, Yongxin dibawa oleh pihak polis dari bandar Xinxiang pada Jumaat lalu untuk membantu siasatan. Sejak Sabtu, spekulasi mengenai keberadaan beliau tersebar luas di media sosial China, terutama selepas beliau tidak lagi aktif di akaun rasmi Weibo sejak Khamis lalu, walaupun sebelum ini beliau memuat naik kandungan secara konsisten sejak 2018.

Kemunculan awam terakhir Yongxin ialah pada 7 Julai lalu ketika menghadiri satu mesyuarat sami, menurut laman rasmi Kuil Shaolin.

Sepanjang hampir tiga dekad menerajui Kuil Shaolin, Yongxin sering dikritik oleh komuniti Buddha dan pengamal seni mempertahankan diri kerana mengubah kuil itu menjadi entiti komersial moden, termasuk membuka lebih 50 pusat kebudayaan Shaolin di luar negara.

Data dari laman Qichacha, yang mengumpul maklumat perniagaan di China, menunjukkan Yongxin kini dikaitkan dengan lapan entiti perniagaan iaitu tiga masih aktif, manakala lima telah dibubarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×