Tak boleh tidur, takut hantui ibu hamil dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

Tak boleh tidur, takut hantui ibu hamil dijangkiti Covid-19

ZURINA Hasan Basri bersama suami, Abu Zaharin Ab. Malek merupakan bekas pesakit Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tidak senang duduk, tidak boleh tidur, perasaan bimbang dan ketakutan melampau sentiasa menghantui diri selagi belum dibenarkan pulang.

Situasi itu dilalui seorang ibu hamil yang disahkan positif Covid-19 selepas menjadi kontak rapat dengan anaknya yang positif virus berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zurina Hasan Basri, 35, berkata, sepanjang tempoh 10 hari di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Kolej Kejururawatan Kuantan, dia tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu takut dan bimbang virus itu terus aktif dalam tubuhnya.

“Perasaan itu sentiasa bermain di fikiran kerana selain hamil, dua anak saya yang tidak dijangkiti berada bersama sepanjang tempoh kuarantin kerana tiada yang sanggup menjaganya selepas saya dan suami disahkan positif Covid-19.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dua kali ujian saringan dilakukan di PKRC, keputusan menunjukkan mereka tetap negatif,” katanya di sini semalam.

Menceritakan semula pengalamannya, Zurina berkata, anak sulungnya, Melissa Abu Zaharin, 12, disahkan positif Covid-19 pada 5 Mei lalu selepas menjalani ujian calitan di Klinik Kesihatan Beserah pada 4 Mei dan mereka sekeluarga perlu kuarantin kendiri di rumah selepas dipakaikan gelang merah jambu.

Katanya, selepas keputusannya positif Covid-19, ambulans datang dan membawa anaknya ke PKRC Kolej Kejururawatan Kuantan.

Berikutan itu, Zurina bersama suami, Abu Zaharin Ab. Malek, 51, dan dua lagi anaknya, Azzahra, 9, dan Aqil Zhafran, 6, pula diminta menjalani ujian saringan.

Katanya, selepas keputusan diperoleh, dia dan suami disahkan positif Covid-19 manakala anaknya negatif.

“Tiada apa yang mampu saya ungkapkan ketika itu, hanya menangis, malah suami saya turut menangis mengenangkan saya yang baharu hamil trimester pertama dan ada anak kecil.

“Pada petang itu juga ambulans datang membawa kami untuk dikuarantin di PKRC yang sama dengan anak selama 10 hari bermula 6 Mei sebelum dibenarkan pulang pada 15 Mei lalu,” katanya.

Berkongsi pengalaman tanda-tanda awal dijangkiti, Zurina yang juga pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta berkata, seminggu sebelum disahkan positif Covid-19, badannya mulai lemah dan menganggap ia hanya alahan di awal kehamilan.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin teruk malah pada satu tahap untuk solat, saya hampir pitam apabila seluruh anggota badan saya sakit, lenguh, susah nak bernafas, tekak haus dan kering walaupun minum air dalam jumlah yang banyak.

“Pengalaman dijangkiti virus ini sangat menakutkan dan sehingga kini emosi saya sedikit terganggu kerana bimbang ia akan menyerang kami semula,” katanya.

Namun katanya, di sebalik kejadian itu dia tidak menafikan tidak terlepas daripada pandangan negatif sesetengah pihak terhadap bekas pesakit Covid-19.

“Saya sebenarnya agak takut juga untuk memberitahu orang ramai bahawa saya, suami dan seorang anak adalah bekas pesakit Covid-19 tetapi demi kebaikan bersama saya sedia bercerita supaya masyarakat lebih memahami mengenai wabak halimunan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×