KOTA BHARU: Seorang pembantu perawatan kesihatan di sebuah hospital mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap suami bekas isterinya dengan sebilah parang, minggu lalu.
Tertuduh, Nik Mohd. Helmy Raja Sulong, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah selepas jurubahasa mahkamah selesai membacakan pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Mohamad Amirul Mohamad Yusof, 31, menggunakan sebilah parang. Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian di sini, kira-kira pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Fariduddin Mat Noor.
Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan atas faktor penggunaan senjata berbahaya selain tertuduh juga merupakan bekas suami kepada isteri mangsa.
Muhammad Fariduddin dalam rayuannya memohon ikat jamin dengan alasan tertuduh perlu menanggung lima anak termasuk dua anak kandung berusia lapan tahun dan 16 tahun selain tiga anak tiri berusia dalam lingkungan tiga hingga 11 tahun.
“Tertuduh juga mengalami masalah jantung dan dua kali dimasukkan ke hospital ketika dalam tahanan reman iaitu pada 21 dan 25 Julai lalu di Hospital Kelaboran dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah turut menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN










