PETALING JAYA: Polis setakat ini merakam keterangan tiga individu termasuk pengawal keselamatan dan pembantu rumah berkaitan kejadian pecah masuk rumah cucu Tun Dr. Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, di sini, Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dalam kes terbabit.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pelaku dan setakat ini seramai tiga individu
“Siasatan awal mendapati kediaman terbabit mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun tiada simpanan data kerana ia hanya untuk 24 jam sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Media semalam melaporkan pihak polis sedang menanti laporan daripada unit forensik untuk mendapatkan petunjuk.
Mohamed Usuf dilaporkan berkata, kerugian dianggarkan kira-kira RM1.8 juta membabitkan barangan berbentuk barang kemas lama, serta barangan peribadi milik penghuni rumah.
“Perlu saya jelaskan sebenarnya rumah itu milik Mirza Mahathir tetapi didiami oleh anaknya iaitu cucu Tun M.
“Ketika kejadian dia tiada di rumah, dan kita difahamkan dia jarang ada di situ. Cuma ada penjaga, dan pembantu rumah (ketika kejadian)… ada kesan pecah rumah dan kita sedang siasat ,” katanya.
Difahamkan kejadian itu disedari oleh pembantu rumah pada 3 petang Rabu lalu selepas mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan biliknya dimasuki pencuri. – UTUSAN











