DI tengah kealpaan dunia moden yang sarat dengan hiruk-pikuk hiburan, fitnah digital dan kesibukan mengejar material, masih ramai umat Islam yang memilih untuk menjadikan al-Quran sebagai sahabat akrab dalam hidupnya.
Inilah warisan para ulama yang tidak pernah padam dalam memelihara, menghayati, dan menghidupkan al-Quran dalam segenap lapangan kehidupan.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Mudir Madrasah Ihya’ Ulumudin di Selising, Kelantan, Ustaz Mohd. Khairudee Mohd. Alwi berkata, sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai peneman harian akan melihat perubahan hidupnya yang sangat ketara, bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat.
Menurutnya, al-Quran bukan sekadar dibaca untuk mendapat pahala, tetapi untuk difahami, ditadabbur dan diamalkan sebagai panduan sepanjang hayat.
“Kitab suci ini adalah sumber hidayah yang terjamin diturunkan bukan sebagai hiasan almari atau bacaan bermusim tetapi sebagai petunjuk yang jelas kepada umat manusia.
“Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 2: bermaksud – “Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
USTAZ MOHD. KHAIRUDEE MOHD. AlWI
Umur: 44 tahun
Asal: Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan
Sejarah Pendidikan:
Diploma Pertanian
– Politeknik Kota Bharu.
Lepasan Madrasah Islamiah Sri Permai Pasir Puteh, Kelantan (11 tahun)
Tugas hakiki:
Pengasas dan Mudir Maahad Ihya Ulumuddin Kampung Berangan, Pasir Puteh, Kelantan.
Menurut Khairudee, membaca al-Quran dengan niat ikhlas akan membuka pintu hidayah dan mengeluarkan seseorang daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman.
Katanya, antara kelebihan utama al-Quran adalah ia menjadi pembela kepada pembacanya di akhirat kelak.
Katanya, kebenaran ini berpaksikan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.”
Bagi para pelajar tahfiz dan pencinta al-Quran, katanya, ini bukan sekadar janji, tetapi harapan yang membakar semangat mereka untuk terus istiqamah dalam mengaji.
“Tidak kira sama ada seseorang itu mahir atau masih merangkak-rangkak dalam membaca al-Quran, setiap huruf yang dibaca tetap diberi ganjaran pahala.
“Bahkan yang tidak lancar akan diberi dua pahala: satu kerana membaca, dan satu lagi kerana kesungguhannya.
“Ramai tidak sedar kedudukan seseorang di sisi Allah boleh meningkat hanya kerana kecintaannya terhadap al-Quran,” kata beliau sambil merujuk sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya Allah SWT mengangkat darjat satu kaum dengan al-Quran dan menjatuhkan yang lain dengannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Mohd. Khairudee berkata, al-Quran bukan sekadar bacaan, malah menjadi syifa’ (penawar) kepada pelbagai jenis penyakit, termasuk kegelisahan jiwa.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 82: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.”
Mohd. Khairudee berkata, jadikan inti pati al-Quran itu sebagai asas pembentukan akhlak dengan belajar memahami makna dan isi kandungannya.
Katanya, amalan menghayati al-Quran akan mendidik seseorang dengan sifat sabar, tawaduk, jujur dan berani kerana kebenaran selain mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.
Beliau berkata, Rasulullah SAW menyebut yang paling layak menjadi imam ialah yang paling mahir dalam al-Quran.
Katanya, ini membuktikan betapa tinggi kedudukan orang yang menguasai al-Quran dalam masyarakat Islam untuk tampil sebagai pemimpin.
“Membaca al-Quran, khususnya surah-surah seperti Al-Baqarah dan Al-Mulk juga menjadi pelindung daripada gangguan makhluk halus dan sihir.
“Bukan jampi, bukan tangkal, tetapi al-Quranlah sepatutnya kita pegang. Kembalilah menjadikan kitab suci ini sebagai teman hidup, bukan sekadar bacaan di majlis-majlis tahlil,” katanya.
Katanya lagi , mulakan walau satu ayat sehari, biarlah sedikit tetapi konsisten kerana daripada situ akan terbit cinta, dan daripada cinta itu lahir amalan yang berterusan.- UTUSAN









