GEORGE TOWN: Institusi Raja Berperlembagaan perlu terus dihormati dan dipelihara sebagai asas penting dalam pembinaan negara bangsa serta menjamin kestabilan sistem kenegaraan yang telah terbina sejak sekian lama.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berkata, institusi diraja bukan sekadar lambang warisan sejarah, malah ia merupakan sebahagian daripada struktur pemerintahan yang berperanan menjaga keluhuran Perlembagaan, melindungi nilai tradisi dan menyatukan rakyat dalam semangat patriotisme.
“Prinsip ini telah termaktub dalam salah satu daripada lima Rukun Negara yang mana wajar untuk difahami, dihargai serta dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Di negara ini, institusi beraja bukan hanya lambang kedaulatan, tetapi juga berperanan sebagai penjaga keluhuran perlembagaan, pemelihara nilai tradisi dan penyatu rakyat dalam semangat patriotisme yang luhur,” katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2025.
Seramai 280 individu menerima anugerah pada hari pertama istiadat pengurniaan pingat itu diadakan dan mendahului senarai penerima ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Dr Mohd Yussof Abdul Latiff dan Pengerusi Eksekutif MMAG Holdings Berhad, Datuk Farhash Wafa Salvador.
Ketiga-tiga mereka menerima anugerah Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Seorang lagi penerima DPPN iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bagaimanapun akan hadir menerima darjah kebesaran yang sama, Isnin ini.
Ramli berkata, semangat hormat kepada institusi negara tidak boleh sekadar diucapkan, sebaliknya perlu dizahirkan melalui sikap, kefahaman dan penghayatan yang ikhlas.
“Sebagaimana pohon yang teguh akarnya tidak mudah tumbang dipukul ribut, demikianlah juga institusi kenegaraan kita. Ia akan terus kukuh selagi rakyat berpegang teguh pada asas dan prinsip yang sama,” ujarnya.
Mengulas mengenai sambutan Bulan Kebangsaan peringkat negeri pula, Ramli berkata, rakyat Pulau Pinang perlu memperkukuh semangat perpaduan yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan.
Katanya, kepelbagaian tersebut merupakan satu kekuatan yang membentuk identiti negeri ini sebagai masyarakat yang bertamadun, matang dan bertoleransi tinggi.
“Pulau Pinang mencerminkan wajah sebenar Malaysia yang harmoni dan inklusif. Kepelbagaian ini adalah anugerah yang perlu kita syukuri dan pelihara dengan semangat muafakat,” katanya.-UTUSAN











