'Tidakkah dunia nampak apa berlaku di Gaza? Di mana kemanusiaan?' - Utusan Malaysia

‘Tidakkah dunia nampak apa berlaku di Gaza? Di mana kemanusiaan?’

ANTONIO GUTERRES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam mengecam sikap tidak peduli masyarakat antarabangsa terhadap krisis kebuluran yang semakin meruncing di Gaza, menyifatkannya sebagai “krisis moral yang mencabar nurani global.”

“Saya tidak dapat gambarkan sikap acuh tak acuh dan kegagalan bertindak yang ditunjukkan oleh begitu ramai pihak di peringkat antarabangsa.

“Ia seolah-olah mencerminkan kurangnya rasa belas ihsan dan nilai kemanusiaan,” kata Guterres menerusi satu sidang video pada perhimpunan global anjuran Amnesty International.

Beliau menegaskan situasi yang berlaku bukan sekadar krisis kemanusiaan, tetapi juga krisis moral yang menuntut perhatian dan tindakan segera oleh dunia.

Beberapa badan bantuan antarabangsa sebelum ini memberi amaran mengenai peningkatan kes kebuluran serius, khususnya melibatkan kanak-kanak di Gaza, yang kini terperangkap dalam kancah konflik berterusan antara Israel dan Hamas.

Pada Mac lalu, Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan meskipun sekatan itu sebahagiannya dilonggarkan dua bulan kemudian, pengagihan bantuan masih terhad dan dikawal ketat.

Sejak Mei, proses pengagihan bantuan dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), yang disokong oleh Israel dan Amerika Syarikat. Ia menggantikan sistem pengagihan terdahulu yang dikendalikan oleh PBB.

Namun begitu, beberapa agensi bantuan dan PBB enggan bekerjasama dengan GHF, menuduh organisasi itu sebagai alat untuk memenuhi agenda ketenteraan Israel.

Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mirjana Spoljaric, turut menyatakan kebimbangan terhadap keadaan di Gaza:

“Tiada alasan yang boleh diterima bagi apa yang sedang berlaku. Skala penderitaan dan pelanggaran maruah manusia telah melebihi segala piawaian undang-undang dan moral,” katanya.

Beliau berkata lebih 350 kakitangan ICRC di Gaza sendiri sedang bergelut mendapatkan makanan dan air bersih.

Menurut Guterres, sejak GHF memulakan operasi pada 27 Mei lalu, lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh semasa cuba mendapatkan bantuan makanan, satu tragedi yang disifatkannya sebagai tidak boleh diterima.

“Kita memerlukan gencatan senjata segera dan berkekalan, pembebasan tanpa syarat semua tebusan, serta akses kemanusiaan yang segera dan tanpa halangan,” tegas beliau.

Guterres menutup kenyataannya dengan memberi jaminan bahawa PBB akan terus bersuara selagi mempunyai peluang dan ruang untuk berbuat demikian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×