ISTANBUL: Pemimpin-pemimpin Eropah menyambut baik langkah Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mengumumkan bahawa Perancis akan secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, langkah yang dianggap sebagai signifikan dalam usaha mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat, menurut laporan agensi berita Anadolu (AA).
Macron dalam satu kenyataan di platform X pada Khamis menyatakan beliau akan memformalkan pengiktirafan itu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan September.
Langkah itu disambut oleh beberapa pemimpin utama Eropah:
Perdana Menteri Ireland, Simon Harris berkata:
“Saya mengalu-alukan pengumuman Presiden Macron bahawa Perancis akan mengiktiraf Palestin pada September. Ini merupakan sumbangan penting ke arah merealisasikan penyelesaian dua negara, satu-satunya asas berkekalan untuk keamanan dan keselamatan rakyat Israel dan Palestin.”
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, dalam hantaran di X menulis:
“Saya mengalu-alukan keputusan Perancis menyertai Sepanyol dan negara Eropah lain dalam mengiktiraf Negara Palestin. Bersama-sama, kita mesti mempertahankan apa yang sedang dimusnahkan oleh Netanyahu. Penyelesaian dua negara ialah satu-satunya jalan ke hadapan.”
Perdana Menteri Scotland, John Swinney, turut menyuarakan desakan agar kerajaan Britain mengambil langkah yang sama:
“United Kingdom perlu mengikut contoh Perancis dan mengiktiraf Negara Palestin malam ini juga. Ini penting untuk keamanan. Gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan mesti dilaksanakan segera.”
Sementara itu, Menteri Luar Slovenia, Tanja Fajon, menyifatkan keputusan Perancis sebagai:
“Langkah berani ke arah keamanan dan penyelesaian dua negara”, sambil menegaskan komitmen Slovenia terhadap undang-undang antarabangsa dan perdamaian berkekalan di rantau itu.
Republik Czech, walaupun menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara, menegaskan dalam satu kenyataan bahawa status kenegaraan Palestin perlu dicapai melalui rundingan langsung antara pihak Israel dan Palestin.
Presiden Czech, Petr Pavel, yang kini berada dalam lawatan ke Jepun, turut menyuarakan pandangan yang sama, selaras dengan pendirian kerajaan negaranya.










