Satu perkara jelas tentang kediaman yang satu ini, ia tenang, kemas dan sangat mendamaikan mata memandang.
Terletak di sebuah rumah teres dua tingkat (endlot) bersaiz 2,520 kaki persegi, konsep dekorasi yang dipilih oleh Amira Nor Hisham,35, menonjolkan keseimbangan antara moden dan semula jadi, menjadikan setiap ruang terasa lapang dan menyenangkan.
Moden kontemporari untuk ruang dalaman dan natural minimalis untuk ruang luaran. Gabungan ini menjadikan rumah keluarga ini bukan sahaja selesa untuk didiami, malah memberi ketenangan visual kepada sesiapa sahaja yang melangkah masuk.
Konsep moden kontemporari yang diterapkan dalam ruang dalamannya menampilkan penggunaan warna-warna neutral seperti putih dan beige yang diserlahkan dengan sedikit kontras hitam.
Ia mencipta suasana yang bersih, luas dan kemas tanpa perlu dihias berlebihan. Minimalis menjadi pegangan utama. Tidak terlalu banyak perhiasan, tetapi cukup untuk memberi karakter pada ruang.
“Di dalam rumah mahu nampak minimalis dan bersih tanpa terlalu banyak perhiasan dan aksesori, manakala luar rumah (patio) suka elemen semula jadi, lebih tenang dan nampak segar,” katanya kepada Seri.

Ruang patio menterjemah minat Amira terhadap elemen semula jadi.
Dia memilih pendekatan natural minimalis di mana keseluruhan perabot yang digunakan adalah rotan.
Ini bukan sahaja menambah elemen ketenangan, malah menjadikan ruang tersebut terasa seperti sebuah kawasan santai di tengah-tengah alam.

Proses untuk melengkapkan konsep keseluruhan ini mengambil masa lebih kurang setahun. Pemilihan warna dan susun atur dilakukan dengan teliti, berpandukan inspirasi yang banyak diperoleh dari Pinterest.
Fokus utamanya adalah untuk memastikan rumah bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga mudah untuk diselenggara.
Apabila tidak banyak barang dan semuanya mempunyai tempat tersendiri, kerja-kerja mengemas menjadi lebih mudah dan cepat.
“Antara ruang kegemaran ialah ruang tamu dan patio. Kedua-dua ruang ini bukan sekadar tempat beristirahat, tetapi juga menjadi tempat berkumpul bersama keluarga dan meluangkan masa dengan lebih santai,” katanya.
Apabila ditanya sama ada susah untuk mengekalkan rumah dengan konsep begini, Amira berkata, tidak sukar. Malah, konsep minimal inilah yang membantu menjadikan segalanya lebih teratur dan senang diurus.
konsep ini memberi rasa luas pada ruang, memudahkan kerja menyusun perabot dan memastikan rumah sentiasa kelihatan kemas.-UTUSAN










