Ikan laga Crowntail penyejuk mata

Ikan laga Crowntail penyejuk mata

AN laga jenis Crowntail milik Mohamad Nor Syahmi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat Nik Mohamad Syahmi Nik Ibrahim terhadap ikan laga mula berputik pada tahun 2019.

Ketika itu, dia sekadar tertarik melihat seorang rakan memelihara ikan tersebut.

Lalu, perasaan ingin mencuba mendorong dia membeli seekor sebagai permulaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, seperti kebanyakan hobi yang akhirnya menjadi lebih daripada sekadar minat, dia mula membeli beberapa ekor lagi, termasuk jantan dan betina dengan hasrat untuk membiak sendiri.

Daripada satu pasang, ia berkembang kepada puluhan ekor dan di situlah bermulanya kisah serius jejaka ini bersama dunia ikan laga.

Nik Mohamad Syahmi memilih menumpukan perhatian kepada spesies Crowntail, iaitu antara jenis ikan laga yang digemari dalam kalangan penggemar ikan hiasan.

Bentuk siripnya yang tajam, berjurai seperti mahkota, menjadikan Crowntail kelihatan anggun apabila ia mengembang.

Keindahan itu juga menyebabkan jejaka berusia 36 tahun ini tidak lokek berbelanja sehingga RM600 untuk seekor Crowntail yang diimport daripada Indonesia.

Namun, keindahan ini menuntut penjagaan yang rapi dan disiplin yang tinggi. Crowntail bukanlah spesies yang mudah dijaga kerana struktur tulangnya agak halus dan mudah terjejas jika tidak dijaga dengan teliti.

“Sejak melibatkan diri dalam hobi ini, saya memang dikenali dengan ikan laga Crowntail kerana saya minat dengan keunikannya.

“Struktur tulang pada Crowntail agak sukar dijaga sebenarnya tetapi itu tidak menjadi masalah buat saya, apatah lagi rupanya pun menarik,” katanya kepada Seri.

Antara trofi yang dibawa pulang sepanjang menyertai pertandingan kecantikan ikan laga.

DAUN KETAPANG HILANGKAN TRES

Menurut Nik Mohamad Syahmi, air merupakan faktor paling penting dalam penjagaan ikan laga.

Mempunyai sekitar 40 ekor di kediamannya ketika ini, kata Syahmi, ikan laga akan hidup sihat di dalam air tanpa klorin.

Kebersihan air juga perlu dijaga sepanjang masa dengan menukar air baharu setiap tiga hingga ke empat hari bagi mengelakkan ikan stres.

“Tetapi, kadangkala cuaca yang berubah-ubah juga boleh menyebabkan ikan stres. Untuk hilangkan stres, rendamkan beberapa helai daun ketapang ke dalam bekas ikan.

“Air kemudiannya akan berubah sedikit coklat, namun ia dapat membantu menenangkan ikan. Kandungan dalam daun ketapang mestabilkan pH sekali gus bantu hilangkan stres ikan laga,” ujarnya.

MAKANAN BERNUTRISI

Pemakanan ikan laga juga diberi perhatian khusus.

Nik Mohamad Syahmi memberikan pelet untuk ikan yang dibela sebagai hobi di rumah.

Manakala, makanan hidup seperti kutu air dan jentik-jentik nyamuk diberikan kepada ikan yang disediakan untuk pertandingan.

Sejak memelihara ikan laga, Nik Mohamad Syahmi aktif menyertai pertandingan kecantikan ikan laga.

Walaupun hanya diberi makan sekali sehari, pemilihan makanan memainkan peranan besar dalam kesihatan dan kecantikan ikan tersebut.

Selain aspek teknikal, yang mendorong anak jati Kelantan ini terus setia dengan ikan laga adalah kepuasan yang sukar digambarkan apabila melihat ikan yang dibelai sejak kecil membesar menjadi spesimen yang sihat, aktif dan kekal cantik.

Akuinya, saat paling menggembirakan ialah apabila melihat Crowntail miliknya mekar sepenuhnya.

Siripnya yang seperti mahkota terbuka luas, berenang anggun di dalam air jernih.

Ikan laga sebenarnya terdiri daripada dua jenis utama iaitu ikan laga liar (wild betta) dan ikan laga moden.

Kebanyakan masyarakat awam hanya mengenali ikan laga sebagai ikan yang biasa ditemui di parit dan sawah, berwarna gelap atau hitam.

Namun, ikan laga moden seperti Crowntail, Halfmoon dan Plakat kini tampil dalam pelbagai warna terang, bentuk sirip eksotik dan sering menjadi tumpuan dalam pertandingan serta pameran ikan hiasan.

Katanya, hobi ini tidak memerlukan modal yang besar.

Malah, bagi sesiapa yang baru ingin mencuba, sebotol air mineral dan seekor ikan dari pasar malam pun sudah cukup untuk memulakan langkah pertama.

Sekitar RM30 hingga RM40 sahaja diperlukan untuk mula mengenali ikan laga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini