SIBU: Lima buah rumah di Kampung Hilir di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 8.13 pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral serta balai bantuan BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi diketuai oleh Penolong Bomba Kanan (PBK) Thomson Sumping Crennal dengan bantuan pegawai kanan operasi dari Zon 4.
“Setiba jentera bomba pada pukul 8:17 pagi, didapati empat buah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya, manakala satu rumah kosong juga musnah sepenuhnya manakala dua rumah berpenghuni mengalami kerosakan sekitar 20 peratus.
“Operasi memadamkan kebakaran menggunakan teknik defensive dan offensive berjalan selama hampir empat jam sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari.
“Dalam kejadian ini, seramai 66 penghuni dari tujuh buah rumah terlibat,” katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN











