PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan #TurunAnwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan.
Beliau turut menasihatkan para peserta agar sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada serta bersama-sama memelihara ketenteraman dan keselamatan di kawasan sekitar.
“PDRM mengambil maklum mengenai penganjuran satu perhimpunan aman yang dijadualkan berlangsung esok bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, PDRM menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Adalah menjadi harapan kami agar setiap suara yang dizahirkan dapat disampaikan dalam suasana yang saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakat malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd. Khalid berkata, segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan.
Katanya, bagi masyarakat umum yang mungkin tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan ini, PDRM menyarankan agar orang ramai dapat merancang perjalanan lebih awal dan menyemak maklumat trafik semasa.
“Ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kelewatan, memandangkan aliran trafik dijangka mengalami sedikit perubahan sepanjang berlangsungnya perhimpunan,” jelasnya.
Ujar Mohd. Khalid, dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara, PDRM ingin memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan terus dipelihara, dan dalam masa yang sama hak-hak kebebasan rakyat akan tetap dihormati.
“Kami percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama yang erat dan rasa tanggungjawab bersama.
“PDRM amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan menyeru agar semua pihak terus memainkan peranan secara berhemah dan matang.
“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap ruang demokrasi yang terbuka ini dimanfaatkan secara positif, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Kelmarin, polis menjangkakan perhimpunan berkenaan menghimpunkan antara 10,000 hingga 15,000 peserta termasuk gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan orang awam.
Sebanyak lima lokasi utama sekitar ibu negara akan menjadi lokasi berkumpul peserta perhimpunan #TurunAnwar sebelum mereka bergerak ke Dataran Merdeka.
lima lokasi itu ialah Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks SOGO. – UTUSAN











