Kapal persiaran bawa 1,600 pelancong Israel dihalau dari Greece - Utusan Malaysia

Kapal persiaran bawa 1,600 pelancong Israel dihalau dari Greece

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Sebuah kapal persiaran yang membawa 1,600 pelancong Israel dihalang daripada berlabuh di Pulau Syros, Greece awal minggu ini susulan bantahan besar-besaran oleh lebih 300 penduduk tempatan yang mengibarkan bendera Palestin dan sepanduk bertulis “Hentikan Pembunuhan Beramai-ramai”.

Kapal bernama Crown Iris itu diarahkan berpatah balik ke Cyprus atas faktor keselamatan, selepas bantahan awam tercetus berikutan penentangan semakin memuncak terhadap dasar kekejaman Israel ke atas Gaza.

Para penunjuk perasaan bukan sahaja mengecam serangan Israel terhadap rakyat Palestin, malah turut mempersoalkan hubungan ekonomi dan ketenteraan yang semakin erat antara Kerajaan Greece dan Tel Aviv.

Mereka menyatakan dengan tegas enggan bersekongkol dalam perang genosid yang sedang berlaku di rantau ini.

Insiden itu menjadi antara manifestasi global kebangkitan masyarakat awam yang menolak kekejaman rejim Zionis, di saat banyak kerajaan Barat dilihat gagal mengambil tindakan tegas terhadap Israel.

Di Belgium, dua askar Israel dilaporkan telah disoal siasat oleh pihak berkuasa ketika menghadiri Festival Muzik Tomorrowland, berdasarkan undang-undang bidang kuasa sejagat berkaitan jenayah perang.

Dalam masa yang sama, pertubuhan seperti Yayasan Hind Rajab yang dinamakan sempena seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang terbunuh di Gaza telah dilancarkan untuk menggerakkan sokongan serta mengumpul bukti kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Sementara itu, Maldives mengambil langkah lebih drastik apabila secara rasmi mengharamkan kemasukan pemegang pasport Israel ke negara itu, sebagai tindak balas terhadap kekejaman berterusan di Gaza.

Tindakan sebegini memperlihatkan mesej jelas daripada masyarakat antarabangsa meskipun banyak kerajaan terus memberi sokongan politik dan ketenteraan kepada Israel, namun rakyat biasa dan beberapa negara berdaulat mula bangkit menentang genosid di Gaza.

Fenomena ini menunjukkan masyarakat awam dunia kini semakin berani menyuarakan bantahan terhadap penindasan, malah tidak teragak-agak menggunakan saluran undang-undang, dasar imigresen dan demonstrasi jalanan demi menuntut keadilan untuk Palestin. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×