TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam keras keputusan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mengumumkan hasrat mengiktiraf kenegaraan Palestin, dengan menyifatkannya sebagai “ganjaran kepada keganasan” dan satu ancaman besar terhadap keselamatan Israel.
“Langkah ini memberi ganjaran kepada keganasan dan berisiko mewujudkan satu lagi proksi Iran, sebagaimana yang berlaku di Gaza,” kata Netanyahu dalam kenyataan rasmi.
Beliau turut mendakwa penubuhan sebuah negara Palestin pada masa ini hanya akan dijadikan “landasan untuk memusnahkan Israel dan bukan untuk hidup bersama secara aman.”
“Jelas sekali, Palestin tidak mahukan sebuah negara di sebelah Israel, tetapi mahu menggantikan Israel sepenuhnya,” kata Netanyahu.
Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar turut menyelar kenyataan Macron, dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan mengelirukan.
“Keangkuhan Presiden Perancis yang seolah-olah cuba menentukan penyelesaian isu wilayah kami hanya melalui satu kenyataan ringkas, adalah satu pendekatan yang tidak serius,” katanya.
Menurut Sa’ar, jika negara Palestin ditubuhkan, ia berpotensi menjadi “negara Hamas”, dan Macron tidak mempunyai keupayaan untuk menjamin keselamatan Israel.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menulis di platform X:
“Daripada berdiri bersama Israel dalam saat genting ini, Presiden Perancis bertindak melemahkan kami. Kami tidak akan benarkan pembentukan entiti Palestin yang boleh menjejaskan keselamatan kami, mengancam kewujudan kami, dan mencabar hak sejarah kami ke atas Tanah Israel.”
Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, juga tidak melepaskan peluang untuk mengkritik Macron dan mengaitkan kenyataannya dengan usaha memperluas kuasa Israel di wilayah Tebing Barat.
“Saya berterima kasih kepada Presiden Macron kerana telah memberi satu lagi sebab kukuh untuk Israel menerapkan sepenuhnya kedaulatan ke atas wilayah bersejarah Judea dan Samaria, serta mengakhiri ilusi penubuhan negara pengganas Palestin di tengah-tengah Tanah Israel,” ujarnya, merujuk kepada istilah biblikal untuk wilayah Tebing Barat yang kini diduduki Israel.
Kecaman beramai-ramai dari kepimpinan Israel terhadap Perancis ini dibuat hanya beberapa jam selepas kerajaan Israel meluluskan peruntukan bajet baharu untuk pembangunan infrastruktur pengangkutan berskala besar di Tebing Barat.
Smotrich menyifatkan projek tersebut sebagai sebahagian daripada “langkah pelaksanaan kedaulatan secara de facto” oleh Israel ke atas wilayah tersebut. – Agensi











