KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bakal membentangkan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) Kelantan 2019 dalam versi baharu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini, sebagai usaha memperkukuh sistem perundangan Islam di negeri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, draf enakmen berkenaan kini memasuki peringkat semakan akhir oleh pakar perundangan sebelum melalui proses percetakan dan pembentangan rasmi.
“Ketika ini, kita sedang meneliti secara teknikal keseluruhan 16 seksyen enakmen itu untuk memastikan tiada kekeliruan atau peruntukan yang perlu diolah semula.
“Insya-Allah, tahun ini juga versi baharu (Enakmen Kanun Jenayah Syariah) akan dibawa semula ke DUN. Ini khabar gembira untuk umat Islam, bukan sahaja di Kelantan malah di seluruh negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, semalam.
Mohd. Asri berkata, penggubalan semula enakmen itu bukan bermaksud kerajaan negeri mahu berlawan dengan Kerajaan Persekutuan atau mana-mana badan berkaitan.
Katanya, sebaliknya ia adalah usaha untuk memberitahu bahawa DUN Kelantan mempunyai hak dalam perkara tersebut dan mahu kesemua 16 Seksyen EKJS yang terbatal dihidupkan semula untuk dikuatkuasakan.
“Sayang jika kesemua seksyen yang sudah begitu cantik tidak boleh dikuat kuasa kerana ia mengandungi beberapa perkara amat penting termasuk berkaitan jenayah liwat yang membolehkan perlakuan tidak bermoral itu ditentang oleh penguatkuasa kita.
“Kita mahu memberitahu, penguatkuasaan terhadap apa-apa kemungkaran yang berlaku dalam negeri ini termasuk perlakuan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) boleh dilakukan secara lebih tersasar dan baik dengan adanya kesemua seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019,” ujarnya
Mohd. Asri berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selaku badan penguatkuasa turut mengadakan sesi taklimat berkenaan enakmen itu di sekolah-sekolah bagi menyuntik kesedaran mengenai kemungkaran yang harus ditentang oleh semua pihak.
“Sebab itu kita dapat lihat berlaku pengurangan statistik gejala tidak bermoral berikutan anggota masyarakat berasa gerun untuk melakukan kemungkaran.
“Bagaimanapun pendekatan kita melalui sesi taklimat ini adalah lebih kepada aspek restoratif sebelum sampai ke peringkat pelaksanaan hukuman kognitif,” ujarnya. – UTUSAN











