GAZA: Petugas kesihatan di Gaza berdepan krisis kebuluran meruncing sehingga ramai antara mereka terlalu lemah untuk memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit selain semua hospital sesak dengan penduduk awam yang cedera dan kekurangan zat makanan.
Hampir ribuan petugas perubatan yang ditemu bual oleh The Guardian dan Arab Reporters for Investigative Journalism (ARIJ) berkongsi keadaan semakin terdesak akibat kekurangan makanan dan kemerosotan tahap kesihatan fizikal mereka.
“Mereka berada dalam keadaan keletihan melampau. Ada yang rebah di bilik pembedahan,” kata Pengarah Hospital al-Shifa di Gaza City, Dr Mohammed Abu Selmia.
Katanya, perkhidmatan perubatan pasti akan terjejas kerana petugas tidak lagi mampu bertahan dalam menghadapi kebuluran melampau ini.
Di Kompleks Perubatan Nasser, seorang pakar bedah memaklumkan bilangan pesakit yang mengalami gejala berkait kekurangan zat makanan semakin meningkat.
“Ramai pesakit dari semua peringkat umur datang dengan simptom seperti gastroenteritis, pitam dan paras gula dalam darah yang rendah.
“Malah, komplikasi selepas pembedahan juga semakin meningkat akibat kekurangan nutrisi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan tidak makan selama dua hari kerana takut keadaan gastroenteritis dirinya bertambah buruk malah, tekanan darah yang terlalu rendah memaksanya menghentikan pembedahan terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang cedera ditembak di bahagian perut.
Sebahagian petugas kesihatan berkata mereka terpaksa membuat keputusan antara kekal di hospital untuk menyelamatkan nyawa pesakit atau keluar mencari makanan buat keluarga namun, mereka juga berasa bimbang untuk mendapatkan makanan dari pusat agihan yang dikawal oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di bawah seliaan Gaza Humanitarian Foundation kerana dikhuatiri menjadi sasaran.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejak Mei lalu lebih 1,000 penduduk terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan dan konvoi kemanusiaan.
Sektor kesihatan Gaza telah lumpuh sepenuhnya selepas hampir dua tahun konflik berterusan di mana pada Mei lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 94 peratus hospital di Gaza mengalami kerosakan atau musnah dan hanya 19 daripada 36 hospital masih beroperasi. -AGENSI










